Tuesday 4 October 2011


SASTERA HIKAYAT ZAMAN PRA-ISLAM ( ZAMAN PERALIHAN HINDU-ISLAM)
HIKAYAT AHMAD MUHAMMAD

Sebagai hikayat yang ceritanya dikategorikan sebagai berunsur
hindu-Islam, jelas bahawa wujud percampuran kedua-duanya. Unsur pengembaraan yang terdapat dalam cerita berunsur Hindu, juga dapat ditemukan dalam cerita ini. Sebagai contoh, hanya disebabkan daging burung, Ahmad dan Muhammad terpaksa melarikan diri (mengembara) kerana diburu oleh orang suruhan nakhoda yang mengidam untuk makan daging burung itu. Walau bagaimanapun, unsur Hindu tersebut diimbangi dengan adanya unsur Islam dan unsur ini hampir-hampir menutupi kewujudan unsur Hindu yang terdapat dalam cerita ini.

Sinopsis Cerita
HIKAYAT AHMAD MUHAMMAD

Ahmad dan Muhammad yang berguru dengan Sang Maha Pandeta pulang menemui bonda mereka. Dalam pertemuan itu, kedua duanya telah memakan burung peliharaan mereka yang telah di sembelih dan dipanggang lantaran terkena penyakit sawan. Hal ini menimbulkan kemarahan nakhoda Syam yang telah menjadi suami permaisuri kerana dialah yang mengarahkan burung itu dipanggang.  Lalu nakhoda Syam mengupah beberapa orang Habsyi untuk membunuh kedua-dua beradik itu. Rancangan jahat nakhoda itu telah didengar oleh Nisumbli, perempuan peliharaan permaisuri lalu dia memaklumkannya kepada kedua-dua beradik tersebut yang pada waktu itu sudah kembali ke rumah Sang Maha Pendeta. Atas nasihat Sang Maha Pendeta, Ahmad dan Muhammad berangkat meninggalkan negeri itu untuk menyelamatkan diri setelah dibekalkan oleh guru itu keris dan azimat setiap seorang.  Berjalanlah mereka dengan bersusah- payah dengan menjadikan daun kayu muda sebagai makanan dan lubang gua sebagai tempat bermalam.

Mereka akhirnya berjaya dikesan oleh pesuruh nakhoda Syam, yang berjumlah 500 orang itu setelah tiba di Gunung Arka di Gunung Wanadari. Kedua-dua beradik itu segera menyelamatkan diri dengan masuk ke dalam gua batu yang bernama Hamindar Singsih. Apabila melihat mereka masuk, pesuruh yang bernama Habsyi Bicu menutup mulut gua itu dengan batu dan dia begitu pasti bahawa kedua-dua beradik itu tidak akan dapat melepaskan diri mereka. Dengan takdir Allah, di dalam gua itu,  Ahmad dan Muhammad bersua dengan seorang tua yang sedang bertapa  bernama Tuan Syeikh Khialuddin. Pertapa itu tahu akan masalah yang sedang didepani oleh kedua-dua beradik itu lalu memberikan beberapa pengajaran untuk memperteguh iman mereka. Mereka turut dibekalkan dengan azimat dan keris. Keesokannya, setelah didoakan oleh Syeikh Khialuddin, kedua-dua beradik itu keluar melalui mulut gua yang lain untuk meneruskan perjalanan.

Salah seorang pesuruh nakhoda Syam terpandang akan kedua dua beradik yang berjaya melarikan diri itu lalu mengejutkan rakan-rakannya untuk mengejar Ahmad dan Muhammad. Oleh sebab tidak tahan dikejar, Ahmad dan Muhammad sepakat untuk menentang mereka. Berlakulah pertarungan antara Ahmad dan Muhammad dengan gerombolan pesuruh itu. Kejayaan Ahmad dan Muhammad menumpaskan empat orang Habsyi yang bernama Jimsa, Hisma, Nukangu, dan Selami telah menakutkan habsyi yang lain lalu mereka melarikan diri sambil disindir oleh kedua-dua beradik itu.  Melalui pesuruh-pesuruh itu, Ahmad mencabar nakhoda Syam supaya datang menemui mereka di Gunung Arakan di Hutan Wanadari.

Kedua-dua beradik itu meneruskan perjalanan.  Setelah enam hari mengembara, mereka tiba di sebatang pokok yang besar dan tinggi bernama Haruhara yang menjadi tempat tinggal geroda, gajah,harimau, dan singa. Di bawah pokok itulah kedua-dua beradik itu melepaskan lelah mereka. Muhammad menyuruh adiknya mencari air tetapi oleh sebab terlalu leka, Ahmad telah tersesat manakala Muhammad terlupa akan adiknya itu.


UNSUR DAN PENGARUH DALAM CERITA

PENGARUH HINDU
1 Nama-nama Hindu - Sang Maha Pendeta (guru Ahmad dan Muhammad); Dewi Permaisuri (bonda Ahmad dan Muhammad).
2 Konsep hukum karma - pihak yang mendukung nilai baik beroleh kejayaan/kemenangan (Ahmad dan Muhammad) manakala pihak yang mendukung nilai-nilai jahat beroleh kecelakazin/kekalahan (nakhoda Syam dan pesuruhnya).
3 Konsep pertolongan dalam keadaan-keadaan tertentu (unsur kebetulan) yang dikaitkan - Tuan Syeikh Khialuddin kebetulan berada dalam gua Hamindar Singsih yang menjadi tempat persembunyian Ahmad dan Muhammad dan telah membantu kedua-dua beradik itu.
4 Cabaran dan rintangan yang dihadapi watak baik / wira sebelum beroleh kesenangan - Ahmad dan Muhammad menempuh pelbagai kepayahan dalam perjalanan mereka.
5 Kewujudan binatang besar - dikatakan pokok Haruhara didiami burung geroda yang amat besar.
6 Konsep penghormatan terhadap manusia yang mulia - Ahmad dan Muhammad menyembah kaki Tuan Syeikh Khialuddin semasa bertemu dengan pertapa itu di dalam Gua Hamindar Singsih.
7 Konsep meyakini kekuasaan sesuatu benda - Ahmad dan Muhammad dibekalkan azimat oleh Sang Maha Pendeta dan Syeikh Khialuddin sendiri.

PENGARUH ISLAM
1 Nama-nama watak - Ahmad; Muhammad; dan Tuan Syeikh Khialuddin.
2 Konsep percaya kepada Allah - Sang Maha Pandeta berpesan kepada Ahmad dan Muhammad supaya tidak lupa akan ilmu Allah dan beribadat kepada-Nya; Syeikh Khialuddin mengingatkan kedua-dua beradik itu akan takdir Allah.
3 Konsep percaya kepada Rasul - Sang Maha Pandeta berpesan supaya Ahmad dan Muhammad ingat pada Rasul.
4 Budaya ucap salam - Ahmad dan Muhammad memberikan ucapan "Assalamualaikum" kepada Syeikh Khialuddin dan dijawab oleh Syeikh itu.
5 Kewujudan konsep keimanan        - Syeikh Khialuddin menyebut tentang ganjaran (pahala), syafaat dan balasan akhirat.
6 Konsep berdoa -- Syeikh Khialuddin berdoa ke hadrat Allah meminta kedua-dua beradik itu beroleh perlindungan-Nya.

Monday 3 October 2011

SASTERA HIKAYAT
Definisi :

Sastera hikayat ialah cerita-cerita dalam bentuk bertulis yang menggunakan bahasa Melayu lama dengan langgam bahasa dan stuktur yang tertentu, membawa cerita ajaib yang berunsur hiburan, hasil daripada imaginasi dan fantasi pengarangnya.


Pembahagian/penggolongan Sastera HIkayat

Sastera Hikayat terbahagi kepada 3 golongan :

i. Sastera Hikayat Berunsurkan Hindu
ii. Sastera Hikayat Berunsurkan Hindu-Islam ( Zaman Peralihan )
iii. Sastera Hikayat Berunsurkan Islam