Wednesday 10 August 2011

UNSUR WASIAT DALAM SULALATUS SALATIN SEJARAH MELAYU

WASIAT ialah pesanan, keinginan, atau kehendak terakhir seseorang yang hampir meninggal dunia yang  ditujukan kepada orang-orang yang bakal ditinggalkannya. Wasiat bukanlah menyentuh hal peninggalan, harta benda sahaja tetapi juga meliputi kata-kata yang berupa amanat dan nasihat yang diberikan kepada waris untuk dipusakai dan diamalkan. Amanat dan nasihat yang diberikan dalam wasiat dapatlah diandaikan sebagai sesuatu peninggalan yang "paling ikhlas" atau "paling jujur" daripada seseorang yang hampir meninggal dunia.
TUJUAN DAN SEBAB BERWASIAT
Secara umumnya, wasiat perlu diberikan kepada sesiapa sahaja. seorang hartawan, sebelum ia meninggal dunia, perlu berwasiat kepada kaum keluarganya, atau kepada orang-orang yang terdekat dengannya, ataupun kepada orang-orang yang dipercayainya. Hal ini perlu dilakukannya demi mengelakkan berlakunya perebutan terhadap harta yang ditinggalkannya.

Walau bagaimanapun, dalam konteks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, tujuan dan sebab-sebab seseorang itu berwasiat agak berbeza. Hal ini demikian kerana kebanyakan wasiat tersebut adalah dalam bentuk ungkapan kata-kata yang berunsur nasihat, pesanan, clan amanat. Wasiat itu pula diungkapkan sama ada oleh raja/sultan ataupun tokoh-tokoh pembesar kepada orang-orang yang terdekat dengannya. Tujuan dan sebab-sebab wasiat itu diturunkan dapat diperincikan seperti yang berikut:

I  sebagai suatu bentuk peringatan, nasihat, dan pesanan - hal ini dapat dilihat menerusi wasiat yang disampaikan oleh Bendahara Paduka Raja kepada orang-orang yang hadir semasa beliau sakit. Beliau mengingatkan mereka supaya "... jangan kamu tukarkan agamamu dengan dunia yang tiada kekal adanya ini;...";

2 sebagai suatu arahan/perintah - wasiat ini lazimnya diluahkan oleh para pemerintah (raja/sultan) kepada para pembesar negara. Lazimnya dalam wasiat itu, pemerintah yang terbabit meminta pembesar melantik putera yang dinamakan mereka sebagai penggantinya selepas kemangkatannya kelak;
3   sebagai suatu amanah - dalam hal ini, yang dijadikan amanah ialah harta benda, termasuk anak-pinak.  Sultan Maliku's­Salleh, misalnya, berwasiat kepada Sidi Ali Ghiathu'd-Din dan Sidi Asma Yaumi'd-Din supaya menjaga kedua-dua puteranya - Sultan Maliku'l-Mansur dan Sultan Maliku't-Tahir. Seri Nara Diraja Tun Ali pula mengamanahkan anak-anaknya - Tun Tahir, Tun Mutahir, dan Tun Abdullah - kepada Bendahara Paduka Raja;
4 sebagai panduan untuk memerintah dan menempuh kehidupan - hampir keseluruhan isi kandungan wasiat yang disampaikan oleh pihak pemerintah kepada bakal penggantinya adalah untuk memandu mereka bersikap adil dan saksama kepada rakyat jelata.
Wasiat-wasiat dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu
Terdapat beberapa banyak tokoh dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Mclayu yang menyampaikan wasiat mereka. Kebanyakan wasiat itu pula diperturunkan semasa mereka gering/sakit.
1 Wasiat Sultan Maliku's-Salleh kepada Sidi Ali Ghiathu'd-Din dan Sidi Asma Yaumi'd-Din (hlm. 59).
2 Wasiat Sultan Maliku't-Tahir kepada anaknya, Sultan Ahmad (hlm. 65-66).
3 Wasiat Seri Nara Diraja Tun Ali kepada Bendahara Paduka Raja (hlm. 146).
4 Wasiat Sultan Mansur Syah kepada pembesar Melaka (hlm. 171).
5 Wasiat Sultan Mansur Syah kepada anaknya, Raja Hussain/Raja Ahmad [Sultan Alau'd-Din Riayat Syahl (hlm. 171-172).
6 Wasiat Sultan Alau'd Din Riayat Syah kepada pembesar Melaka (hlm. 186).
7 Wasiat Sultan Alau'd-Din Riayat Syah kepada anaknya, Raja Mamad [Sultan Mahmud Syahl (hlm. 186-187).
8 Wasiat Bendahara Paduka Raja Tun Perak kepada anak cucu Berta para pengikutnya (him. 191).
9 Wasiat Bendahara Paduka Raja Tun Perak kepada Sultan Mahmud Syah yang sedang memerintah Melaka pada ketika itu (hlm. 191).
10 Wasiat Sultan Mahmud Syah kepada para pembesarnya (him. 187).
11 Wasiat Sultan Mahmud Syah kepada anaknya (hlm. 188).
CONTOH-CONTOH WASIAT
Wasiat Sultan Mansur Syah kepada Raja Ahmad/ Raja Hussain
Maka Sultan Mansur Syah pun memandang kepada anakanda baginda, Raja Ahmad; maka titah baginda, "Hei anakku, ketahui olehmu, bahawa dunia ini sekali-kali tiada kekal adanya. Yang hidup itu sedia akan coati juga sudahnya; iman yang sempurna dan pekerti yang balk, itulah yang kekal disebut orang selama-lamanya. Adapun peninggalan aku ini, hei anakku, hendaklah engkau berbuat adil sangat-sangat, dan jangan engkau mengambil hak orang tiada sebenamya. Makan haqu'l-adam terlalu besar dosanya, tiada diampuni Allah subhanahu wa taala; melainkan dengan izin yang empunya hak juga; dan jangan khali engkau keluar dihadap orang, kerana hamba Allah sekaliannya banyak berserah kepadamu; jikalau kesukaran baginya, hendaklah segala yang kesakitan itu segera engkau tolong; jikalau teraniaya ia, hendaklah engkau periksa ia balk-balk, supaya di akhirat jangan diberatkan Allah atasmu, kerana sabda Nabi salla'llahu 'alaihi wa salami Kullukum ra 'in wa kullukum mas'ulun 'an ra'iyyatihi, yakni segala kamu yang menggembala dunia lagi akan ditanyai daripada kebelaan kamu; ertinya, segala raja-raja di akhirat lagi akan ditanyai Allah subhanahu wa taala daripada segala rakyat. Sebab demikianlah, maka sebaiknyalah engkau berbuat adil dan saksama, supaya di sang jemah diringankan Allah taala kira-kiramu; clan hendaklah engkau muafakat dengan segala menteri dan segala orang Besar-besarmu, kerana raja itu, jikalau bagaimana sekalipun bijaksana dan tahunya, jikalau tiada muafakat dengan pegawai, di mans akan dapat ia melakukan bijaksananya itu? Dan tiada akan sentosa kerajaannya; kerana raja-raja itu umpama api, segala menteri itu umpama kayu, kerana api itu tiada akan nyala jikalau tiada kayu; seperti kata Farsi: 'Ar'ayatu juan bakhasta sultan khasad', yakni rakyat itu umpama akan dan raja itu umpama pohon; jikalau tiada akan nescaya tiada akan dapat berdiri. Demikianlah raja itu dengan segala rakyatnya. Hei anakku, hendaklah engkau turut seperti amanatku ini; supaya beroleh berkat diberi Allah subhanahu wa taala, bija hin-nabi salla'llahu 'alaihi wa salam."
(hlm. 171-172)
Isi Kandungan Wasiat Sultan Mansur Syah
• CIRI-CIRI PEMERINTAH
Wasiat Sultan Mansur Syah kepada Raja Hussain/Raja Ahmad (Sultan Alauddin Riayat Syah) itu menggariskan beberapa cirri asas seorang raja atau ketua Negara menurut ukuran kenegaraan Islam. Yang berikut adalah antara ciri-ciri pemerintah yang terungkap dalam wasiat tersebut.
1   Iman yang sempurna (kesempurnaan iman) - seseorang raja harus beriman terhadap Allah s. w. t. dan sentiasa melakukan aural salih. seseorang raja yang menaiki takhta kerajaan mestilah tahu dan faham akan tugas dan tanggungjawab yang harus dijalankannya. Peranan seseorang raja bukan setakat menjadi ketua kerajaan semata-mata tetapi juga memikul amanah daripada Allah s. w. t. sebagai pemimpin kepada rakyat dan negara.
2 Pekerti yang baik (perilaku mulia) - seseorang raja atau pemerintah yang memiliki pekerti yang baik, seperti mengasihi rakyatnya, menghormati pembesarnya, serta memelihara perlakuan dan tutur katanya, akan disenangi dan disayangi oleh setiap lapisan masyarakat, termasuklah pembesar dan hamba sahaya. Dengan memiliki pekerti yang baik, mereka akan senantiasa dikenang dan disanjung oleh rakyat jelata walaupun selepas ketiadaan mereka.
3 Berbuat adil sangat-sangat (keadilan) - wasiat yang terclapat dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu turut memberikan penekanan kepada raja-raja agar memerintah dengan adil clan saksama terhadap rakyat. Raja tidak dibenarkan melakukan perbuatan zalim terhadap rakyat.
4 Jangan engkau mengambil hak orang (amanah) - seorang raja ditegah sama sekali mengambil hak milik rakyat sesuka hatinya. Perbuatan tersebut akan menyebabkan berlakunya .penganiayaan terhadap rakyat yang lemah. Raja yang adil harus meminta kebenaran lebih dahulu sebelum mengambil atau menggunakan barang atau harta milik rakyatnya.
5 Jangan khali engkau keluar dihadap orang (bersedia menemui dan mengambil tahu hal ehwal rakyat jelata) -pemerintah merupakan tempat rakyat bergantung harap. Oleh hal yang demikian, pemerintah mestilah bersedia membantu rakyatnya yang menghadapi kesusahan. Pemerintah juga perlu menyiasat setiap dakwaan yang melibatkan rakyatnya dengan sebaik-baiknya dan seterusnya menghakiminya dengan seadil­adilnya, yakni, tanpa berat sebelah atau pilih kasih. Raja-raja bertanggungjawab melantik hakim-hakim yang adil bagi menguruskan persoalan kehakiman dan undang-undang di dalam negeri.
6 Muafakat dengan segala menteri (musyawarah) - setiap pemerintah perlu bermusyawarah serta mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pegawai-pegawainya. Hal ini demikian kerana keputusan yang terhasil melalui mesyuarat lebih jitu dan tepat.

UNSUR MITOS DALAM SULALATUS SALATIN SEJARAH MELAYU

MITOS, sebagaimana yang diketahui umum, adalah suatu unsur dongeng atau kejadian luar biasa yang tidak dapat diterima logik akal tetapi diketengahkan sebagai suatu peristiwa yang benar-benar terjadi. Peristiwa yang berlaku itu sama ada yang berlegar di sekitar kehidupan manusia, haiwan, ataupun alam semesta - kelihatan pelik, janggal, dan melampaui lumrah alam. Walau bagaimanapun, penilaian terhadap ketakwajaran unsur mitos itu adalah mengikut acuan zaman moden sedangkan pemilik unsur tersebut, yakni masyarakat silam, meyakini bahawa mitos tersebut memang benar-benar berlaku.
Dalam konteks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, unsur mitos merupakan sebahagian daripada ciri yang signifikan, terutama pada bahagian awal teks tersebut. Kewujudan unsur mitos dalam teks tersebut berkait rapat dengan realiti kehidupan masyarakat Melayu pada zaman itu yang masih berada dalam lingkungan pengaruh Hindu dan animisme yang kuat.
CIRI-CIRI MITOS
I Mitos dianggap sebagai kejadian atau peristiwa yang benar­benar berlaku - cerita mitos dianggap benar-benar berlaku pada zaman silam. Keyakinan tersebut, sesetengahnya, telah membentuk sistem nilai mereka dan seterusnya diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Mitos berbeza daripada unsur­unsur dongeng.
t Mitos dianggap suci - kesucian ini terbit kerana mitos kaya dengan unsur-unsur kedewaan yang diyakini oleh masyarakat Melayu pada zaman silam. Kepercayaan tersebut terbentuk sebagai hasil daripada pengaruh animisme dan ajaran agama Hindu.
3 Mitos kaya dengan unsur-unsur alam ghaib - keyakinan masyarakat Melayu zaman silam terhadap kewujudan alam ghaib sangat tebal. Mereka percaya bahawa sesuatu yang ghaib itu, seperti kewujudan kuasa makhluk-makhluk halus (jin, syaitan, penunggu, puaka) dan alam kayangan atau alam dewa dewi dapat mempengaruhi kehidupan mereka. Malah, dalam konteks alam kayangan, masyarakat Melayu pada zaman itu yakin bahawa mereka dapat Baling berhubungan (bersahabat atau berseteru) antara satu sama lain.
4 Mitos kaya dengan peristiwa atau kejadian yang luar biasa, ganjil, dan aneh - masyarakat Melayu zaman silam mempercayai bahawa setiap kejadian luar biasa, ganjil, atau aneh mempunyai tujuan-tujuan atau alamat-alamat yang tertentu. Hal ini berlaku sebagai hasil daripada keakraban hubungan masyarakat Melayu dengan flora dan fauna di sekeliling mereka.
JENIS-JENIS MITOS
Mitos dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu dapat dibahagikan kepada empat jenis, iaitu:
1 mitos asal usul raja;
2 mitos pembukaan negeri;
3 mitos kedatangan Islam; dan
4 mitos-mitos lain.

Mitos Asal Usul Raja
Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, dalam upaya hendak meningkatkan martabat dan kedudukan raja-raja Melayu, khususnya raja Melaka, telah mengaitkan bahawa raja-raja tersebut berasal usul daripada keturunan Raja Iskandar Zul­Karnain, Nabi Sulaiman, clan Nusyirwan Adil. Pertalian ini bermula apabila Raja Suran (cucu Raja Sulan) telah masuk ke dasar laut dan berkahwin dengan Puteri Mahtabu'l-Bahri dari negeri Dika. Perkahwinan tersebut telah menghasilkan tiga orang putera - Nila Pahlawan, Krisyna Pandita, dan Nila Utama. Ketiga-tiga putera ini telah naik ke bumi dan mendarat di Bukit Si Guntang, Palembang. Keistimewaan dan keluarbiasaan yang dimiliki mereka telah membolehkan mereka menjadi raja - Nila Pahlawan menjadi raja di Minangkabau; Krisyna Pandita menjadi raja di Tanjung Pura; Nila Utama pula menjadi raja di Palembang dan seterusnya di Temasek dengan gelaran Seri Teri Buana. Seri Teri Buanalah yang kemudiannya mengembangkan keturunan raja-raja Melaka.
Mitos Pembukaan Negeri
Sulalatus Salatin Sejarah Melayu banyak juga mengetengahkan mitos yang berkaitan dengan pembukaan sesebuah negeri. Dalam hal memilih dan memberikan nama negeri ini, penamaan tersebut dibuat berdasar kepada keyakinan para raja terhadap sesuatu keganjilan dan kejadian luar biasa yang pada pandangan mereka akan mendatangkan keberuntungan kepada negeri tersebut. Antaranya termasuklah:
1 pembukaan negeri Singapura yang dikaitkan dengan peristiwa kemunculan seekor binatang yang bernama “Singa”
2 pembukaan negeri Melaka yang dikaitkan dengan peristiwa seekor pelanduk putih yang telah mengalahkan anjing;
3 pembukaan Semundra yang dikaitkan dengan peristiwa Merah Silu bertemu dengan seekor semut besar seperti kucing; dan
4 pembukaan Pasai yang dikaitkan dengan peristiwa anjing Sultan Maliku's-Salleh yang bernama si Pasai menyalak di suatu kawasan tanah tinggi.
Mitos Kedatangan Islam
Sebagaimana mitos asal usul, tujuan mitos kedatangan Islam ini diselitkan dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu adalah untuk mengangkat darjat raja-raja Melayu. Ada dua peristiwa yang memerihalkan mitos kedatangan Islam ini, iaitu:
1 kedatangan Islam di Semundra yang dikaitkan dengan peristiwa Merah Silu bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad s. a. w. Dalam mimpi itu, Nabi Muhammad s. a. w. telah meludah ke dalam mulut Merah Silu dan sebagai hasilnya, Merah Silu dapat mengaji pada keesokan harinya manakala tubuhnya pula berbau narawastu; dan
2 kedatangan Islam di Melaka yang dikaitkan dengan peristiwa Raja Kecil Besar (Sultan Muhammad Syah) telah diislamkan oleh Nabi Muhammad s. a. w. melalui mimpi. Dalam mimpi itu, dikatakan bahawa Raja Kecil Besar telah diajar mengucap dua kalimah syahadat, dikhatankan, dan diberi nama Islam. Keesokannya, semua yang dimimpikan oleh baginda menjadi kenyataan dan tubuh baginda turut berbau narawastu.
Mitos-mitos Lain
Dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, terdapat beberapa peristiwa berunsur mitos yang ditulis untuk tujuan yang khusus. Antaranya termasuklah untuk menggambarkan kepercayaan sesuatu anggota masyarakat ataupun untuk mengkritik raja secara halus. Yang berikut adalah antara beberapa contoh mitos tersebut.
I Peristiwa Badang menjadi gagah setelah makan muntah hantu - Badang telah beroleh kekuatan dan kegagahan yang sangat luar biasa setelah memakan muntah hantu yang mencuri hasil tangkapannya. Kegagahan Badang yang luar biasa itu telah membolehkan dia mencabut pokok-pokok kayu Yang besar dengan akarnya sekali dan hal ini menggembirakan majikannya kerana ladangnya telah dapat dibersihkan dalam masa yang singkat.
2 Peristiwa ikan todak menyerang Singapura - peristiwa ini berlaku semasa Singapura diperintah oleh Paduka Seri Maharaja. Banyak rakyat negeri itu yang mati ditikam oleh ikan todak yang mampu melompat hingga ke pantai. Untuk mengatasi serangan tersebut, Paduka Seri Maharaja telah memerintahkan rakyatnya berkubukan betis tetapi perintah itu lebih banyak menyebabkan kematian dan kecederaan kepada rakyat yang terlibat. Akhirnya, serangan ikan todak itu dapat diatasi melalui kebijaksanaan seorang budak yang menyarankan penggunaan batang pisang sebagai kubu. serangan ikan todak tersebut ada kaitannya dengan pembunuhan Tuan Jana Khatib yang "mahir akan ilmu khayal lillah lagi tamam dua belas".
3  Peristiwa Sang Rajuna Tapa menjadi batu - peristiwa ini menimpa Sang Rajuna Tapa kerana dia telah mengkhianati Raja Iskandar Syah. Pengkhianatan itu dilakukannya selepas Raja Iskandar membunuh anak perempuannya dengan cara yang sangat memalukan dirinya. Untuk membalas perbuatan Raja Iskandar Syah itu, dia telah bersekongkol dengan Majapahit yang menyebabkan Singapura jatuh ke tangan kuasa besar itu.
KEPENTINGAN MITOS
Penerapan mitos dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ini mempunyai matlamat dan kepentingannya yang tersendiri dan khusus, sesuai dengan zaman teks ini dihasilkan. Di pihak pemerintah, peristiwa yang berunsur mitos itu secara umumnya dapat meningkatkan darjat dan kedaulatan mereka. Di pihak hamba rakyat pula, unsur mitos tersebut dapat mendidik serta meyakinkan mereka tentang kehebatan dan kedaulatan raja serta perkara-perkara yang berkaitan dengan institusi beraja. Kepentingan mitos dalam penulisan teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ini dapat dijelaskan seperti yang berikut:

Menunjukkan Keagungan Keturunan Raja
Iskandar Zulkarnain berbangsa Rom dan berasal dari Makaduniah.  Sebagaimana yang tercatat dalam sejarah, beliau merupakan seorang raja yang agung dan penakluk dunia yang terbilang.  Berdasarkan Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, raja-raja Melayu dikatakan berasal daripada keturunan beliau walaupun menurut Sejarah, Iskandar Zul-Karnain (Alexander The Great) tidak pernah menakluki India. Oleh itu, mitos yang mengaitkan raja-raja Melayu bersusur galur daripada keturunan Iskandar Zul-Karnain itu mempunyai kepentingannya yang tersendiri, iaitu untuk mengangkat darjat raja-raja Melayu ke tahap yang tinggi, yakni memiliki ciri-ciri kepahlawanan, kehebatan, dan keagungan, sama seperti yang dimiliki oleh datuk nenek mereka yang bernama Iskandar Zul-Karnain itu.
Menunjukkan Sifat Luar Biasa Raja
Salah satu mitos yang terdapat dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu adalah tentang pengembaraan Raja Suran ke dasar laut. Baginda dikatakan telah tiba di sebuah negeri yang bernama Dika dan seterusnya berkahwin dan hidup di negeri itu. Hal ini memang di luar mats fikir manusia dan melampaui hukum alam, namun penerapan mitos yang sedemikian ada kepentingannya. Penerapan unsur tersebut adalah untuk menggambarkan bahawa raja-raja Melayu sangat luar biasa dan berbeza daripada manusia biasa dan oleh itu, merekalah yang layak memimpin manusia lain.

Menyindir atau Mengkritik Raja
Mitos lain yang terdapat dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ialah serangan ikan todak terhadap Singapura. Penerapan mitos ini bertujuan untuk menyindir atau mengkritik golongan raja atau pembesar yang menzalimi rakyat. Mitos itu juga bertujuan untuk menyedarkan raja dan pemerintah bahawa setiap hamba rakyat, tidak kira sekecil mana pun mereka itu, perlu dihormati dan disayangi kerana mereka mempunyai kelebihan masing-masing. Jelas dalam hal ini, budak yang menyarankan rakyat Singapura menggunakan batang pisang sebagai kubu untuk meredakan serangan todak, mempunyai kelebihannya walaupun masih kecil.

Mendidik dan Menakutkan Rakyat
Sesetengah mitos dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ini sengaja diterapkan bagi mendidik rakyat supaya senantiasa menghormati dan mentaati raja sebagaimana yang dipersetujui dalam waad antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana dahulu. Dalam hal ini, mitos yang memaparkan Sang Rajuna Tapa menjadi batu setelah mengkhianati Sultan Iskandar Syah menunjukkan bahawa sumpahan Seri Teri Buana yang mengatakan bahawa rakyat yang derhaka akan "dibalikkan Allah bumbungan rumahnya ke bawah kaki ke atas" menjadi kenyataan. Peristiwa itu juga dapat menimbulkan rasa gerun di hati rakyat supaya tidak mengkhianati waad tersebut.

Mempelbagaikan Kaedah/Teknik Penulisan
Penerapan unsur mitos dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu juga bertujuan untuk mewujudkan variasi dalam stail penulisannya. Penerapan itu juga memperlihatkan kekreatifan pengarang dalam usaha hendak menarik hati para pembaca.

UNSUR LAGENDA DALAM SULALATUS SALATIN SEJARAH MELAYU

LEGENDA ialah cerita yang mengisahkan kebesaran dan keistimewaan seseorang tokoh yang diyakini kewujudannya oleh masyarakat. Cerita tersebut sering kali dibuat secara berlebih-lebihan dan melampaui kelaziman yang biasa dimiliki oleh seseorang manusia. Cerita-cerita tentang tokoh legenda ini juga bercampur aduk antara unsur Sejarah dengan unsur fantasi. Tokoh-tokoh legenda itu biasanya menjadi kemegahan dan kebanggaan sesuatu bangsa.
Tokoh-tokoh legenda biasanya ditandai oleh beberapa ciri. Antara ciri utama tersebut termasuklah:
1 mereka memiliki rupa paras yang kacak dan tampan, berperibadi mulia, dan bijaksana. Ketampanan, kemuliaan, dan kebijaksanaan mereka dikagumi dan disenangi oleh setiap orang;
2 mereka memiliki ilmu kepahlawanan, cekap bermain senjata, gagah dan perkasa, serta berani. Kehebatan mereka selalunya tidak dapat ditandingi oleh mana-mana pahlawan sekalipun;
3 mereka memiliki ilmu kesaktian ataupun ilmu hikmat yang membantu mereka dalam apa-apa juga keadaan semasa berjuang;
4 mereka, taat dan setia kepada keluarga dan raja. Ketaatan dan kesetiaan mereka begitu luhur clan suci;
5 mereka memiliki keistimewaan tertentu yang tiada pada manusia biasa.

Berdasar pada hakikat tersebut, dapat ditemukan perbezaan yang ketara antara legenda dengan mitos. Legenda lebih berpijak di bumi nyata, yakni tokoh yang dipusatkan 'lazimnya memang pernah hidup (diyakini kewujudannya) dan tokoh itu banyak jasanya. Mereka disenangi dan menjadi sebut-sebutan (idola) masyarakat dan lantaran itu, perwatakan mereka telah ditokok tambah oleh masyarakat, malah sikap, pemikiran, dan tindakan mereka, dijadikan ikut-ikutan oleh kelompok tertentu. Hal ini berbeza dengan mitos yang ceritanya merupakan imaginasi pengarang atau kelompok masyarakat tertentu.
CONTOH-CONTOH LEGENDA
Laksamana Hang Tuah
Kewajaran Laksamana Hang Tuah sebagai Legenda
Hang Tuah ialah salah satu legenda Melayu yang menonjol dalam teks. Sulalatus Salatin Sejarah Melayu. Tokoh ini dipercayai memang pernah hidup di Melaka pada mass dahulu. Yang menjadikan Hang Tuah tergolong sebagai legenda Melayu adalah kerana beliau memiliki pelbagai keistimewaan dan kelebihan, sama ada fizikalnya mahupun mentalnya. Keistimewaan beliau yang paling ketara ialah kepahlawanan dan kegagahan yang dimilikinya. Beliau juga merupakan lambang kesetiaan masyarakat Melayu terhadap raja - bersedia menabur jasa dan bakti demi memelihara kebesaran dan kedaulatan raja Melayu.
Legenda Hang Tuah terakam dalam sebuah hikayat Melayu yang masyhur, iaitu Hikayat Hang Tuah. Walau bagaimanapun, kisah yang terdapat dalam hikayat tersebut mempunyai beberapa perbezaan dengan yang terdapat dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ini.
Latar Belakang Laksamana Hang Tuah
Cerita tentang Hang Tuah dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu bermula pada halaman 103. Beliau dikatakan berasal dari Mengkasar, Sulawesi. Nama sebenarnya ialah Daeng Mempawah, anak raja Bajung yang telah pun meninggal dunia. Beliau menetap di Melaka setelah dianugerahkan oleh raja di Goa (Mengkasar) kepada Sultan Mansur. Pada waktu itu, umurnya baru dua belas tahun. Sultan Mansur Syahlah yang menukarkan namanya, daripada Daeng Mempawah kepada Hang Tuah. Beliau menjadi hulubalang utama kepada beberapa orang sultan Melaka dan diberi gelaran "Laksamana" oleh Sultan Mansur. Sepanjang menjadi hulubalang Melaka, beliau beberapa kali terlibat dalam peperangan, antaranya dengan Siam, Haru, dan beberapa negeri lain serta pernah menjadi utusan ke Siak, Pahang, dan lain-lain.
Hang Tuah mempunyai dua orang isteri dan lima orang anak. Isteri beliau yang pertama ialah saudara Seri Bija Diraja Datuk Bongkok. Dengan isteri pertamanya itu, beliau memperoleh tiga orang anak - Tun Sirah, Tun Biajid, dan Tun Daerah. Tun Daerah kahwini oleh Sultan Mahmud Syah dan mereka dikurniai seorang puteri yang diberi nama Raja Dewi. Isteri beliau yang kedua adalah daripada keluarga Bendahara Paduka Raja.  Dengan isteri keduanya itu, beliau dikurniai dua orang anak - Sang Guna dan Tun Emas Jiwa. Tun Emas Jiwa dijodohkan oleh Hang Tuah dengan Hang Nadim.
Hang Tuah pernah dihukum bunuh oleh Sultan Mansur Syah atas tuduhan bermukah dengan salah seorang pekerja istana. Walau bagaimanapun, beliau terselamat daripada hukuman itu sebagai hasil pertolongan Seri Nara Diraja yang menyembunyikan dan memenjarakan beliau di sebuah dusun. Hang Tuah meninggal dunia semasa zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah dan dikebumikan di Tanjung Keling.
Bukti Hang Tuah sebagai Legenda
·    KEPAHLAWANAN DAN KEBERANIAN
Kegagahan dan keberanian Hang Tuah telah digambarkan secara langsung sejak awal lagi. Pada usia semuda dua belas tahun, beliau telah berjaya membunuh dua orang yang mengamuk di negeri asalnya (Mengkasar). Di Melaka, beliau telah membunuh 74 orang yang mengamuk. Semasa mengikuti rombongan peminangan sultan Melaka ke Majapahit, beliau beberapa kali memperlihatkan kepahlawanannya. Antaranya, beliau telah dapat memangkas ratusan tombak pahlawan Majapahit yang cuba menahannya daripada menaiki balai larangan betara Majapahit. Kepahlawanan beliau juga terlihat menerusi beberapa siri peperangan yang melibatkan beliau selaku pemimpin. Dalam peperangan menentang Semerluki dan Haru, beliau berjaya mengusir kedua-dua angkatan tentera itu dari perairan Melaka.
·    KESETIAAN
Kesetiaan Hang Tuah terhadap raja dan negara memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Beliau senantiasa mentaati perintah raja yang sesetengahnya tidak dapat dilakukan oleh orang lain. Penderhakaan Hang Jebat adalah salah satu daripadanya. Dalam peristiwa itu, tidak ada seorang pun yang dapat mengusir Hang Jebat daripada istana. Apabila Sultan Mansur Syah menitahkan Hang Tuah supaya membunuh Hang Jebat, beliau tidak menolak langsung perintah itu walaupun orang yang bakal dibunuhnya itu adalah sahabat karibnya sendiri. Beliau seterusnya berjaya membunuh Hang Jebat. Begitu juga halnya dengan kerelaannya untuk mengeluarkan kuda raja daripada takungan najis. Demi kesetiaannya kepada raja, beliau telah mengesampingkan rasa jijik dan berjaya melepaskan kuda itu. seterusnya, kesetiaan beliau diperlihatkan menerusi kesediaannya menyertai rombongan peminangan ke Gunung Ledang bagi memenuhi keinginan I'luar biasa" Sultan Mahmud Syah yang bercita-cita untuk berkahwin dengan Puteri Gunung Ledang.

·       KETAMPANAN DAN KEELOKAN RUPA PARAS
Ketampanan beliau digilai oleh gadis dan wanita Majapahit dan banyak menimbulkan kekecohan di mana-mana sahaja beliau pergi. Malah, ada wanita yang dalam pelukan suami meleraikan pelukan mereka semata-mata hendak menatap Hang Tuah.
·       KEBIJAKSANAAN DAN KEPINTARAN
Kebijaksanaan Hang Tuah terserlah semasa beliau menentang seorang lelaki Jawa yang mengamuk di Melaka. Dalam peristiwa itu, lelaki Jawa tersebut membawa golok sebagai senjata. Oleh sebab Hang Tuah lebih mahir berdepan dengan orang yang menggunakan keris, beliau terus mencicirkan kerisnya lalu dipungut oleh lelaki itu. sebagai hasil daripada kebijaksanaannya itu, beliau berjaya menewaskan lelaki Jawa itu dengan mudah.
Raja Iskandar Zul-Karnain
Kewajaran Iskandar Zul-Karnain sebagai Legenda
Raja Iskandar Zul-Karnain merupakan salah seorang tokoh legenda yang tidak kurang pentingnya dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu. Hal ini demikian kerana Raja Iskandar Zul-Karnain merupakan salah seorang tokoh besar dalam sastera Melayu. Walaupun baginda tidak digolongkan sebagai tokoh legenda tempatan (kerana kisah-kisah tentang baginda disadur daripada sastera Arab atau Arab-Parsi), namun cerita tentang baginda telah tersebar luas dalam kalangan masyarakat Melayu semenjak kedatangan Islam dahulu.
Pemerihalan tentang raja ini ditonjolkan oleh pengarang pada awal bab lagi. Pengarang secara langsung telah memerihalkan insan yang bernama Iskandar Zul-Karnain ini, khususnya tentang asal keturunannya, bangsa, negeri dan gelarannya. Baginda telah berperang dengan Raja Kida Hindi dan gambaran tentang peperangan ini, menurut pengarang "terlalu ramai seperti yang dalam Hikayat Iskandar itu". Hal ini bermakna, sebagaimana legenda Hang Tuah yang terakam dalam hikayatnya sendiri -Hikayat Hang Tuah - kisah tentang Raja Iskandar Zul-Karnain juga ada terakam dalam hikayatnya sendiri yang memungkinkan baginda tergolong sebagai tokoh legenda.
Latar Belakang Raja Iskandar Zul-Karnain
Pemerihalan tentang ketokohan Iskandar Zul-Karnain bermula pada halaman 4. Nama baginda ialah Iskandar; Zul-Karnain ialah gelarannya. Baginda merupakan anak raja Darab dan berbangsa Rom Berta memerintah Makaduniah (Macedonia). Kemunculan baginda di dunia sebelah Timur ini bermula dengan keinginannya untuk "berjalan hendak melihat matahari terbit". Keinginannya itL telah membawanya tiba di suatu kawasan di negeri Hindi tetap kehadiran baginda telah disambut dengan serangan oleh pihak Raja Kida Hindi. Raja Iskandar membalas serangan itu dan beroleh kemenangan. Baginda telah mengislamkan Raja Kida Hindi dan seterusnya menjadi menantu raja itu setelah berkahwin dengan puterinya yang bernama Puteri Syahrul-Bariyah. Perkahwinan itu disempurnakan oleh Nabi Khidir a. s. dan melalui perkahwinan itu lahirlah seorang putera yang dinamai Aristun Syah. Raja Iskandar Zul-Karnain telah pulang ke Makaduniah semula dan meninggalkan isterinya pada Raja Kida Hindi atas permintaan Raja Kida Hindi sendiri. Selepas kemangkatan Raja Kida Hindi, Raja Aristun Syah dan keturunannyalah yang memerintah negeri Hindi.
Bukti Raja Iskandar Zul-Karnain sebagai Legenda
·    KEPAHLAWANAN DAN KEHEBATAN
Kepahlawanan Raja Iskandar terlihat semasa bala tenteranyo menentang angkatan tentera Raja Kida Hindi. Bala tenterz pimpinan baginda dapat mengalahkan Raja Kida Hindi dengar mudah, menangkap raja itu hidup-hidup lalu mengislamkannya, dan seterusnya menjadikan negeri Hindi berada di bawah kekuasaannya. seterusnya, baginda memberikan persalinar kepada Raja Kida Hindi dan menyuruh raja itu kembali ke negerinya semula. Kehebatan Raja Iskandar mengagumkan Raja Kida Hindi sehingga baginda terdorong untuk menjodohkan puterinya - Puteri Syahrul-Bariyah - dengan Raja Iskandar. Malah lamaran untuk majlis perkahwinan itu datang daripada pihak perempuan (Raja Kida Hindi), bukan daripada kehendak Raja Iskandar Zul-Karnain sendiri. Yang melamarnya ialah Nabi Khidir a. s. Begitulah hebatnya insan yang bernama, Iskandar Zul-Karnain itu.
·       KEAGUNGAN DAN KEBESARAN
Keagungan dan kebesaran Raja Iskandar Zul-Karnain begit menonjol dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ini. Raja Kida Hindi sendiri, misalnya, menyedari keagungan dan kebesaran Raja Iskandar Zul-Karnain dan oleh sebab itulah baginda Segera bermuafakat dengan perdana menterinya untuk mengahwinkan puterinya - Puteri Syahrul-Bariyah - dengan Raja Iskandar Zu Karnain yang agung itu. Hal ini dilakukannya demi kelangsungan pemerintahannya di samping untuk beroleh zuriat daripada raja yang agung itu bagi memerintah negeri Hindi nanti.
Keagungan dan kebesaran Raja Iskandar Zul-Karnain juga dapat dilihat menerusi upacara perkahwinannya kerana yang menyempurnakan majlis itu ialah Nabi Khidir a.s yang juga bertindak sebagai wali bagi pihak Raja Kida Hindi). Malah, Nabi Khidir a.s. sendiri mengesahkan keagungan dan kebesaran Raja Iskandar Zul-Karnain melalui peringatan yang disampaikannya kepada Raja Kida Hindi:
... "ketahui olehmu hei Raja Kida Hindi, bahawa raja kami inilah yang diserahkan Allah Taala kerajaan dunia ini kepadanya, dari daksina lalu ke paksina."...  (hlm. 5)

Seterusnya, keagungan dan kebesaran baginda terlihat menerusi perlakuan dan ucapan balas Raja Kida Hindi sendiri Setelah mendengar kata-kata Nabi Khidir a. s.:
... tatkala didengar oleh Raja Kida Hindi kata Nabi Khidir demikian itu, maka ia pun segera turun dari atas kerusi, lalu berdiri di tanah seraya ia menyembah pada Raja Iskandar, dan berkata ia: "Bahawa ketahui oleh tuanku, ya Nabi Allah, dan segala tuan-tuan yang ada hadir; bahawa hamba ini dengan sesungguhnya hamba kepada Raja Iskandar, dan anak hamba sekalian pun hamba juga ke bawah duli baginda itu, seperti sahaya yang mengerjakan dia seorang, dua orang itu....  (hlm. 6)

Keagungan dan kebesaran Raja Iskandar Zul-Karnain juga dapat dilihat sewaktu baginda dikahwinkan. Pada waktu itu, semua pembesar bangun memberikan penghormatan, malah mereka menaburkan emas perak dan permata ratna mutu manikam ke kaki Raja Iskandar sehingga "seperti busut dua tiga timbunannya".
·  KEKAYAAN DAN KEMURAHAN HATI
Sebagai raja yang agung, Sultan Iskandar Zul-Karnain memiliki kekayaan yang melimpah-ruah. Baginda tidak tamak akan kemewahan yang dimilikinya. Baginda telah menganugerahi Puteri Syahrul-Bariyah pakaian kerajaan yang "tiada-terperi lagi banyaknya". Baginda juga telah menganugerahi semua raja yang ada semasa majlis perkahwinannya dengan pakaian yang elok-­elok yang bertatahkan ratna mutu manikam dan tiga buah perbendaharaan yang terbuka. Baginda juga menganugerahi bapa mentuanya (Raja Kida Hindi) seratus cembul emas berisi permata, ratna mutu manikam, clan harta benda yang elok-elok. Tidak cukup dengan itu, baginda turut menganugerahkan seratus ekor kuda.

KEBIJAKSANAAN DAN KEPINTGARAN
Raja Iskandar Zuklkarnain merupakan raja dan pemimpin perang (penakluk) Islam yang dihormati dan ditakuti di seluruh dunia.  Baginda dihormati bukan sahaja oleh keberanian dan kepahlawanannya, tetapi juga oleh kebijaksanaan dan kepintarannya. Baginda begitu pintar dalam mengatur strategi perkembangan Islam. Perkara ini dibuktikan baginda melalui tinclakannya menangkap Raja Kida Hindi hidup-hidup dan kemudiannya mengislamkan baginda. Baginda kemudiannya mengambil hati Raja Kida Hindi dengan mempersalini Raja Kida Hindi seperti pakaian dirinya dan seterusnya menyuruh raja itu pulang ke negerinya. Langkah bijak yang diambil baginda memungkinkan Raja Kida Hindi yang menguasai setengah negeri Hindi itu akan memerintahkan rakyatnya menganut Islam dan seterusnya membolehkan Islam bertapak di India (Hindi).

UNSUR WAAD DALAM SULALATUS SALATIN SEJARAH MELAYU

WAAD, dalam konteks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu,merupakan perjanjian yang termeterai antara Seri Teri Buana dengan Demang Lebar Daun sewaktu Seri Teri Buana hendak mengahwini anak Demang Lebar Daun yang bernama Raden Ratna Cendera Puri. Dalam waad tersebut, Seri Teri Buana mewakili golongan pemerintah (raja) manakala Demang Lebar Daun mewakili golongan rakyat jelata. Dalam perjanjian tersebut, kedua-dua pihak bersetuju mematuhi peranan masing-masing sebagaimana yang termaktub dalam waad tersebut. Di pihak raja, golongan tersebut bersetuju dengan ketetapan bahawa mereka:
1 tidak akan menghalau rakyat dari istana; dan
2 tidak akan menista/mengaibkan/memalukan rakyat. Jika wajar dibunuh, maka rakyat tersebut hendaklah dibunuh sahaja.
Di pihak rakyat pula, golongan ini bersetuju bahawa mereka:
1 tidak akan menderhakai raja walau sejahat/sezalim mana sekalipun raja itu; dan
2 tidak akan menitikkan darah (membunuh/mencederakan) raja.
Seri Teri Buana dan Demang Lebar Daun kemudiannya bersumpah akan mematuhi semua ketetapan dalam perjanjian tersebut. Marta-mana pihak yang melanggar sumpah tersebut akan menerima balasan yang berikut:
1 rakyat yang derhaka akan menerima balasan buruk, termasuk kemusnahan segala isi rumahnya; manakala
2 raja yang zalim akan hilang kuasa dan takhta kerajaannya.
SATU PENILAIAN KRITIS
Waad merupakan suatu bentuk perjanjian yang menjadi lambang atau simbol hubungan raja dengan rakyat dalam memelihara keharmonian hidup bermasyarakat dan bernegara. Raja dan rakyat harus memahami tugas masing-masing dan bertindak berdasarkan peraturan peraturan yang telah ditetapkan. Pihak raja harus memerintah dengan adil dan menjauhi perbuatan-perbuatan yang bersifat zalim terhadap rakyat. Pihak rakyat pula harus setia dan menghormati raja serta jangan sekali-kali menderhaka terhadap raja.

Raja dan rakyat yang berpegang teguh pada waad akan menikmati kehidupan yang aman dan selamat. Raja yang adil akan mewujudkan keamanan dan kemakmuran kepada negara dan rakyat jelata. Demikian juga, rakyat yang taat dan setia terhadap raja akan hidup aman  dan selamat. Sebaliknya, raja yang melanggar perjanjian yang telah dibuat dalam waad akan menerima balasan yang setimpal, iaitu akan kehilangan kuasa dan takhta kerajaannya. Demikian juga bagi pihak rakyat yang derhaka, mereka akan menerima bala bencana yang setimpal, yakni dirinya dan seluruh isi rumahnya akan ditimpa kebinasaan.

Pemeteraian waad tersebut telah membentuk suatu kerangka/tulang belakang terhadap keseluruhan penulisan Sulalatus Salatin Sejarah Melayu. Dalam teks, tersebut, banyak peristiwa yang memperlihatkan kepatuhan kedua-dua pihak terhadap ketetapan dalam waad tersebut, termasuk kisah keadilan raja dan kesetiaan rakyat yang membawa kemajuan kepada negeri Melaka. Di samping itu, Sulalatus Salatin Sejarah Melayu turut menonjolkan beberapa pelanggaran terhadap ketetapan dalam waad tersebut yang membawa kebinasaan kepada raja dan rakyat. Yang berikut adalah antara beberapa banyak contoh kepatuhan dan pelanggaran terhadap waad tersebut.
KEPATUHAN DAN PELANGGARAN WAAD
KEPATUHAN TERHADAP WAAD
Keadilan Sultan Mansur Syah
Sultan Mansur Syah seorang sultan yang adil dan bijaksana. pada masa pemerintahannya, negeri Melaka memperlihatkan kemajuan yang liar biasa sehingga dapat memperluas kuasa ke beberapa banyak negeri di Alam Melayu seperti Mengkasar dan Majapahit. Sultan Mansur Syah juga berjaya membuat hubungan dagang dan diplomatik dengan beberapa buah negara di luar Alam Melayu seperti Siam dan China. Hal ini menjadikan Melaka sebuah empayar yang digeruni dan dicemburui oleh beberapa kuasa lain dan menjadi tumpuan para pedagang dari seantero dunia, termasuk dari Arab dan India. Keadaan ini membolehkan rakyat hidup sejahtera dan Melaka menjadi bertambah makmur.
Keadilan Sultan Alau'd-Din Riayat Syah
Baginda seorang sultan yang adil dan sangat mengambil berat akan kehidupan rakyat.  Dalam beberapa hal, baginda mencontohi corak pemerintahan Islam dan corak pemerintahan Khalifah Ar­Rasyidin. Sebagai contoh, baginda telah mengguna pakai undang­-undang yang bercorak Islam/hudud dengan mengenakan hukuman potong tangan kepada individu atau kumpulan yang tidak mengembalikan harta yang ditemukan mereka. Selain itu, baginda sendiri telah "turun padang" untuk membanteras kejadian kecurian di Melaka. Amalan ini sama dengan amalan yang dilakukan oleh Khalifah Umar al Khattab yang sering "turun padang" untuk mengetahui masalah yang dihadapi oleh rakyat jelata. Kesungguhan Sultan Alau'd-Din itu berjaya mewujudkan keamanan di negeri Melaka.
Kesetiaan Bendahara Paduka Raja
Bendahara Paduka Raja (Tun Perak) merupakan bendahara yang paling berjaya dalam pemerintahan beraja di Melaka. Beliau telah menjadi bendahara kepada empat orang pemerintah Melaka, iaitu Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah, Sultan Alau'd-Din Riayat Syah, dan Sultan Mahmud Syah. Kesetiaan beliau terhadap kesemua raja tersebut tidak berbelah bahagi. Beliau senantiasa memperlihatkan ketaatan, kebijaksanaan, dan kesabaran dalam mendepani beberapa krisis yang berlaku di Melaka. Kesetiaan beliau yang paling ketara terlihat menerusi peristiwa pembunuhan Tun Besar, anaknya, oleh Raja Muhammad yang bakal menjadi pemerintah Melaka. Dalam peristiwa itu, para pengikutnya telah bangun untuk membalas perbuatan Raja Muhammad itu tetapi atas kesedaran bahawa "istiadat hamba Melayu tiada pernah derhaka", Tun Perak telah menghalang niat para pengikutnya itu.

PELANGGARAN WAAD
Kezaliman Paduka Seri Maharaja
Tuan Jana Khatib seorang alim yang berasal dari Pasai. Pada suatu hari, beliau telah menilik sebatang pohon pinang gading hingga belah dua dengan menggunakan ilmu khayalillah yang dimilikinya di hadapan permaisuri Singapura. Perbuatan tersebut menimbulkan kemurkaan Paduka Seri Maharaja, pemerintah Singapura, kerana menyangka Tuan Jana Khatib ingin "menggoda" isterinya. Sehubungan itu, baginda telah memerintahkan supaya Tuan Jana Khatib dihukum bunuh. Sebagai akibat kezaliman baginda, Singapura telah diserang ikan todak. Banyak rakyat jelata yang mati Sebagai akibat serangan itu. Peristiwa itu menggambarkan bahawa raja tidak boleh menzalimi rakyat dan menjatuhkan hukuman hanya berdasarkan perasaan semata-mata.  Perbuatan tersebut memungkinkan pihak pemerintah ditimpa bencana.
Kezaliman Raja Iskandar Syah
Raja Iskandar Syah merupakan pemerintah Singapura selepas kemangkatan Paduka Seri Maharaja. Baginda mempunyai seorang bendahari yang bernama Sang Rajuna Tapa. Anak Sang Rajuna Tapa merupakan salah seorang daripada gundiknya dan baginda sangat kasih akan gundiknya itu. Walau bagaimanapun, sebagai akibat suatu fitnah, gundik itu telah dijatuhi suatu bentuk hukuman yang mengaibkan, iaitu disula di hujung pasar. Sang Rajuna Tapa, bapa gundik itu, berasa amat malu lalu beliau berpakat dengan Majapahit dengan bertindak mengutus Surat kepada betara Majapahit dan menyatakan kesediaannya untuk membantu Majapahit mengalahkan Singapura. Beliaulah yang membuka pintu kota semasa Majapahit menyerang Singapura. Sebagai akibatnya, Singapura jatuh ke tangan Majapahit dan Raja Iskandar sendiri terpaksa melarikan diri dari Singapura.
Perbuatan Raja Iskandar ini jelas melanggar ketetapan dalam waad tersebut yang meminta supaya "segala hamba Melayu jikalau ada dosanya ke bawah duli, patik pohonkan jangan difadihatkan, dinista yang keji-keji, jikalau patut pada hukum syarak bunuh, tuanku; jangan duli tuanku aibi". Keterlanjuran itu telah menyebabkan rakyat hilang pertimbangan dan mengkhianati raja, sebagaimana yang dilakukan oleh Sang Rajuna Tapa. Raja perlu ,sedar bahawa pengkhianatan rakyat dapat menyebabkan raja hilang kuasa dan takhta.

Kezaliman Sultan Mahmud Syah I
Sultan Mahmud Syah merupakan sultan yang bemafsu tinggi terhadap wanita serta banyak membunuh orang yang dimusuhi atau dibencinya walaupun atas alasan yang kecil dan tidak munasabah. Ketakrasionalan baginda ini banyak mencetuskan konflik dan krisis, sama ada kepada individu atau keluarga yang terlibat mahupun kepada Melaka dan negeri yang dinaunginya. Rentetan keserakahan nafsu baginda terhadap wanita bermula dengan tindakan baginda "bermain dengan isteri Tun Biajid" sehingga menyebabkan Tun Biajid, anak Laksamana Hang Tuah, merajuk dan tidak menghormati baginda lagi. Baginda juga membuat hubungan sulit dengan Tun Dewi dan apabila mendapati perempuan itu menjalin hubungan dengan Tun Ali Sandang, baginda telah membunuh lelaki itu. Keserakahan nafsu baginda tidak berhenti di situ sahaja. Baginda seterusnya telah merampas "Tun Teja daripada tunangannya, Sultan Abdul Jamal hingga menyebabkan sultan itu membawa diri ke hulu Pahang. Yang lebih menyayat hati, badinda tergamak membunuh Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir yang juga bapa saudaranya hanya semata-mata mahu memiliki Tun Fatimah, anak bendahara itu, yang telah pun bernikah dengan Tun Ali.

Sepertimana yang dijelaskan, Sultan Mahmud yang pendendam dan pendengki banyak membunuh hamba rakyat dan pembesar negeri. Baginda telah membunuh Tun Ali Sandang yang menjalin hubungan dengan Tun Dewi, perempuan yang disukainya. Kemudian, baginda membunuh pula Seri Bija Diraja yang didendaminya dengan menjadikan ketakhadiran pembesar itu pada hari raya sebagai alasan bagi mewajarkan pembunuhan itu. Selanjutnya, Raja Zainal (saudaranya sendiri) yang digilai oleh gadis dan wanita Melaka pula dibunuh oleh baginda. Malah, baginda telah membunuh Tun Mutahir empat sekeluarga (Tun Tahir, Tun Hassan Temenggung, dan Tun Ali) untuk melunaskan dendamnya terhadap bendaharanya itu. Akhir sekali, baginda telah membunuh Sultan Ahmad, putera baginda sendiri (yang sebelum itu enggan diambil darahnya sebagai hantaran peminangan Puteri Gunung Ledang), hanya kerana puteranya itu tidak memperlihatkan rasa hormat terhadap pembesar negara.

Kedua-dua bentuk kezaliman yang merupakan pelanggaran terhadap waad yang dipersetujui itu telah mendatangkan musibah kepada Melaka dan kepada diri Sultan Mahmud sendiri, sebagaimana yang ditegaskan oleh Demang Lebar Daun: 'jikalau raja Melayu itu mengubahkan perjanjian dengan hamba Melayu, dibinasakan Allah negerinya dan takhta kerajaannya." Dalam hal ini, pembunuhan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir yang dikagumi oleh kapitan Peringgi sepertimana katanya, "jikalau lagi ada Bendahara Seri Maharaja, berapa pun besarnya angkatan Goa mau menyerang, Melaka tiada akan alah", telah melemahkan Melaka hingga akhimya berjaya ditawan oleh tentera Peringgi. Baginda sendiri terpaksa melarikan diri ke sana ke mari kerana dihambat oleh tentera Peringgi. Justeru, pihak pemerintah/raja tidak harus menganiaya rakyatnya.
Pembelotan/Pengkhianatan Sang Rajuna Tapa
Sang Rajuna Tapa ialah bendahari Raja Iskandar Syah. Anak Sang Rajuna Tapa pula merupakan gundik kesayangan Raja Iskandar Syah. Walau bagaimanapun, gundik itu telah menjadi mangsa fitnah dan telah dihukum bunuh oleh Raja Iskandar Syah dengan cara yang memalukan (disula di khalayak ramai). Peristiwa itu mengguris perasaan Sang Rajuna Tapa lalu beliau mengkhianati raja Singapura itu dengan menawarkan bantuan kepada Majapahit untuk menyerang Singapura. Bantuan beliau telah membolehkan Majapahit menawan Singapura dan Raja Iskandar Syah terpaksa melarikan diri. Walau bagaimanapun, tindakan Sang Rajuna Tapa yang jelas melanggar waad tersebut telah mendatangkan musibah kepada dirinya. Beliau suami isteri telah menjadi batu dan hal ini bertepatan dengan sebahagian daripada ketetapan yang terdapat dalam waad tersebut iaitu “Barang siapa hamba Melayu derhaka mengubahkan perjanjiannya, dibalikkan Allah bumbungan rumahnya ke bawah kaki ke atas.”