Monday, 12 September 2011

PROSA MELAYU TRADISIONAL (SASTERA KETATANEGARAAN) - BUSTAN AL-SALATIN (BAB III FASAL 2)

KESUSASTERAAN Ketatanegaraan dikenal juga sebagai sastera adab. Kesusasteraan ketatanegaraan  ini menjelas­kan hal-hal yang berkaitan dengan petunjuk atau panduan bagi golongan pentadbir, khususnya raja-raja, dalam urusan pen­tadbiran. Dalam karya ketatanegaraan ini, terdapat penerangan tentang cara-cara mentadbir sesebuah negeri berdasarkan contoh-­contoh pemerintahan raja-raja pada zaman dahulu. Raja-raja yang menjadi contoh daiam pengemukaan cara-cara pentadbiran ini, ialah raja-raja dari Timur Tengah, sama ada yan beragama islam ataupun yang bukan beragama Islam. Selain itu, terdapat juga penerangan tentang pemerintahan Khalifah al-Rasyidin.

Kesusasteraan Ketatanegaraan Melayu yang dianggap terkenal  ialah Taj-al-Salatin yang dikarang oleh Bukhari al-Jauhari pada tahun 1603 di Acheh. Buku ini mengandungi 24 fasal yan­g menyentuh pelbagai hal tentang kehidupan manusia di dunia ini, terutama daripada segi moral dan peraturan.  Kesusasteraan jenis ini yang dianggap terbesar ialah Bustan al- Salatin yang ditulis oleh ulama bernama Nuruddin al-Raniri di Acheh antara tahun 1637 M hingga 1641 M.  Kitab ini mengandungi 7 bab dan 40 fasal. Kitab ini antara lain bermuat hal-hal yang berkaitan dengan sejarah nabi dan raja-raja, menceritakan raja-raja yang adil dan zalim, serta menyatakan ilmu firasat dan ilmu tabib. Selain dua kitab tersebut, terdapat kitab lain seperti Thamarat al-Muhimmah dan Kitab Nasihat Segala Raja-raja.

KAJIAN TEKS "BUSTAN AL-SALATIN (BAB III FASAL 2)"

Bab ini mengemukakan hal-hal yang berkaitan dengan perlakuan dan tindakan nabi-nabi, khalifah, dan raja yang adil sebagai­mana yang dituntut oleh agama Islam. Perlakuan dan tindakan mereka ini dikemukakan melalui peristiwa-peristiwa tertentu. Hal ini kemudiannya diikuti pula dengan pengajaran atau nasihat yang dapat dikutip daripada peristiwa yang melibatkan tokoh-tokoh berkenaan. Selain itu, dikemukakan juga nas-nas daripada al­Quran dan hadis Nabi.
Peristiwa I
Seekor semut berjalan di atas tubuh Nabi Allah Sulaiman ketika nabi itu sedang, tidur. Nabi Allah Sulaiman mengambil dan men­campakkan semut itu dengan tangan kanan. Perbuatan Nabi Allah Sulaiman itu menimbulkan kemarahan semut. Lalu semut itu menyatakan kepada Nabi Allah Sulaiman bahawa Allah Taala akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang melakukan penganiyaan di akhirat kelak. Penjelasan semut itu telah menyebabkan Nabi Allah Sulaiman pengsan dan apabila sedar, baginda meminta semut dipanggil menghadapnya. Nabi Allah Sulaiman memohon maaf daripada semut. Semut bersetuju memaafkan baginda tetapi dengan mengemukakan tiga syarat, iaitu:

1              Jangan tertawa dan mementingkan diri sendiri dalam dunia ini;
2              Jangan kedekut/jangan menolak permintaan orang;
3             memelihara orang-orang yang berada di bawah kekuasaannya.

Peristiwa 2
Ketika Nabi Sulaiman diangkat menjadi khalifah atau raja, semut tidak dapat hadir kerana menziarahi Nabi Allah Daud yang wafat.  Apabila semut menziarahi Nabi Allah Sulaiman kemudiannya, semut menjelaskan kepada baginda bahawa mengunjungi orang vang meninggal dunia adalah lebih utama daripada mengunjungi pelan­tikan khalifah. Semut juga menyatakan bahawa tugas sebagai khalifah penuh dengan cabaran dan akan menghadapi keadaan masa hadapan yang belum pasti.

Peristitwa  3
Semasa meronda pada suatu malam, Khalifah Umar al-Khatab telah mendengar keluhan dan rungutan seorang wanita tentang diri baginda. Hal itu telah mendorong baginda Mengetuk pintu rumah wanita itu untuk mengetahui hal yang sebenarnya. Baginda memperkenalkan dirinya kepada wanita itu dan menyatakan bahawa baginda tidak berupaya untuk mengetahui segala hal tentang rakyatnya.  Wanita itu berasa takut lalu meminta maaf tetapi per­mohonan maaf wanita itu telah menyebabkan Khalifah Umar pengsan. Setelah tersedar daripada pengsan, Khalifah Umar segera bertanya tentang kepayahan yang dihadapi oleh wanita itu.   Wanita itu menyatakan bahawa dia dan anak-anak-nya sedang dalam ke­laparan. Setelah mendengar penjelasan wanita itu, Khalifah Umar kembali ke rumahnya dan membawa sendiri sebakul tepung gandum dan sebakul kurma lalu menyerahkannya kepada wanita itu seraya memohon maaf daripadanya.

Peristiwa  4
Semasa berjalan-jalan di segenap lorong di Madinah pada satu malam, Khalifah Umar terdengar akan satu suara dari sebuah rumah.   Melalui firasatnya, baginda tahu bahawa orang-orang itu sedang melakukan maksiat. Khalifah Umar begitu marah lalu memanjat dinding rumah itu dan terlihatlah oleh baginda akan sepasang lelaki
 
dan perempuan sedang menghadap arak. Baginda memarahi mereka lantaran perbuatan mereka itu. Lelaki itu menyabarkan baginda dan mengakui kesalahannya tetapi pada masa yang sama berkata bahawa Khalifah Umar juga telah melakukan tiga kesalahan. Per­tama, baginda mencari kesalahan orang;  kedua baginda rnemasuki rumah bukan dari depan; ketiga baginda memasuki rumahnya tanpa kebenaran. Lelaki itu mengemukakan nas-nas daripada al-Quran untuk menyokong hujahnya.   Khalifah Umar mengakui kebenaran nas itu dan meminta maaf atas kesilapannya. Walau bagaimanapun, baginda bertegas menyatakan bahawa perbuatan lelaki itu adalah salah lalu menyeru mereka supaya bertaubat. Lelaki itu akur akan saranan Khalifah Umar dan Khalifah Umar pun memaafkan kesalahannya.


Peristiwa  5

Pada suatu malam, Khalifah Umar dan Zaid bin Muslim, hambanya, berjalan-jalan di luar Madinah.  Apabila tiba di perkuburan Baqi, mereka terlihat akan api.  Mereka menghampirinya dan mendapati ado seorang wanita dengan tiga orang anaknya yang sedang menangis kerana kelaparan. Setelah mendapat keizinan, Khalifah Umar mendekati wanita itu.  Baginda bertanya akan sebab-musabab  mereka bermalam di perkuburan itu.  Wanita itu bahawa dia datang dari sebuah kampung untuk memasuk     i Madinah.  Malangnya sewaktu tiba di Madinah, hari sudah malam dan pintu kota telah ditutup.   Apabila ditanya oleh Khalifah Umar tentang ilmasakan"nya,  wanita itu menjelaskan bahawa dia sekadar berpura-pura memasak bagi melekakan anak-anaknya.           Setelah mendengar penjelasan wanita itu, Khalifah Umar dan Zaid segera pulang ke kota Madinah. Baginda telah membeli tepung dan daging untuk diberikan kepada wanita itu. Baginda sendiri yang memikul barang-barang itu walaupun Zaid meminta kebenaran untuk memikulnya.   Baginda jugalah yang memasak dan menghidangkan makanan itu kepada wanita dan anak-anaknya itu.


PENGAJARAN DARIPADA PERISTIWA-PERISTIWA TERSEBUT

1.         Kita hendaklah mendengar kisah-kisah yang dapat memberi­kan teladan kepada kita, terutama kisah para nabi dan para khalifah.

2.         Kita (dan para pemimpin) hendaklah mengasihi dan menghormati semua makhluk di dunia ini dan jangan sekali-kali menganiaya mereka agar tidak diseksa di akhirat kelak. Dalam hal ini, perbuatan Nabi Allah Sulaiman mencampakkan semut yang berjalan di atas dadanya adalah suatu bentuk penganiayaan dan perbuatan itu wajar dijauhi.

3.            Kita (dan para pemimpin) hendaklah maaf-memaafkan antara satu sama lain tanpa mengira status diri masina-masing.  Perlakuan Nabi Aliah Sulaiman yang bersedia memohon maaf daripada semut atas kesilapannya dan kesediaan semut memaafkan  kesalahan baginda itu wajar diteladani.

4.        Kita mestilah bersimpati terhadap kesedihan yang ditanggung oleh orang lain. Dalam hal ini, tindakan semut yang men­ziarahi kematian Nabi Allah Daud dengan mengesampingkan majlis pelantikan Nabi Allah Sulaiman sebagai khalifah memperlihatkan rasa simpati yang tinggi.
5.         Para pemimpin mestilah menjalankan tanggungjawabnva ter­hadap rakyat jelata. Mereka mestilah bersedia menjenguk rakyat bawahannya untuk mengetahui masalah yang dihadapi mereka.  Tindakan Khalifah Umar yang pergi ke segenap ceruk negeri Madinah untuk mengetahui segala hal-ehwai rakyatnya wajar dijadikan ikutan.

6       Sebagai rakyat, kita mestilah rasional. Kita tidak wajar menyalahkan para pemimpin atas kesengsaraan yang kita tanggung, sebaliknya perlulah bersedia menemui mereka untuk memaklumkan kesengsaraan tersebut.  Perlakuan wanita tua yang menyalahkan Sayidina Umar atas kesengsaraan yang ditanggungnya tidak wajar diteladani.

7.         Setiap pemimpin mestilah tegas melaksanakan hukum dan syariat Allah. Tindakan Khalifah Umar yang memarahi sepasang lelaki-perempuan yang sedang menghadap arak dalam usaha hendak mengembalikan mereka ke jalan Aliah haruslah dijadikan contoh.

8.        Sebagai rakyat, kita haruslah berani menegakkan kebenaran, khususnya yang berkait dengan agama. Dalam hal ini, kita wajar meneladani keberanian lelaki yang dimarahi Sayidina Umar kerana melakukan maksiat itu.  Dia dengan berani menegur kesalahan Sayidina Umar sehingga Sayidina Umar menyedari kesalahannya dan meminta maaf daripada lelaki itu.

9.        Dalam menegakkan hukum Allah, setiap pemimpin mestilah mematuhi ketetapan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.  Dalam hal ini, tindakan Khalifah Umar yang telah melanggar ketetapan yang digariskan Allah di dalam al­Quran dalam usahanya hendak mencegah maksiat hendaklah dihindari.

1o.       Para pemimpin mestilah bersedia membantu rakyat bawahannya. Dalam hal ini, hendaklah kita meneladani sikap Sayidina Umar yang membantu ibu dan tiga anaknya yang kelaparan sehingga baginda telah bersusah payah membeli, memasak  menghidangkan gandum dan daging kepada mereka.

11.       Kita mestilah berterima kasih dan bersyukur atas jasa yang diterima.  Dalam hal ini,  tindakan wanita-wanita yang dibantu oleh Sayidina Umar yang mendoakan kesejahteraan ke atas baginda sebagai tanda kesyukuran wajar kita jadikan contoh dan ikutan.

No comments:

Post a Comment