Tuesday, 4 October 2011


SASTERA HIKAYAT ZAMAN PRA-ISLAM ( ZAMAN PERALIHAN HINDU-ISLAM)
HIKAYAT AHMAD MUHAMMAD

Sebagai hikayat yang ceritanya dikategorikan sebagai berunsur
hindu-Islam, jelas bahawa wujud percampuran kedua-duanya. Unsur pengembaraan yang terdapat dalam cerita berunsur Hindu, juga dapat ditemukan dalam cerita ini. Sebagai contoh, hanya disebabkan daging burung, Ahmad dan Muhammad terpaksa melarikan diri (mengembara) kerana diburu oleh orang suruhan nakhoda yang mengidam untuk makan daging burung itu. Walau bagaimanapun, unsur Hindu tersebut diimbangi dengan adanya unsur Islam dan unsur ini hampir-hampir menutupi kewujudan unsur Hindu yang terdapat dalam cerita ini.

Sinopsis Cerita
HIKAYAT AHMAD MUHAMMAD

Ahmad dan Muhammad yang berguru dengan Sang Maha Pandeta pulang menemui bonda mereka. Dalam pertemuan itu, kedua duanya telah memakan burung peliharaan mereka yang telah di sembelih dan dipanggang lantaran terkena penyakit sawan. Hal ini menimbulkan kemarahan nakhoda Syam yang telah menjadi suami permaisuri kerana dialah yang mengarahkan burung itu dipanggang.  Lalu nakhoda Syam mengupah beberapa orang Habsyi untuk membunuh kedua-dua beradik itu. Rancangan jahat nakhoda itu telah didengar oleh Nisumbli, perempuan peliharaan permaisuri lalu dia memaklumkannya kepada kedua-dua beradik tersebut yang pada waktu itu sudah kembali ke rumah Sang Maha Pendeta. Atas nasihat Sang Maha Pendeta, Ahmad dan Muhammad berangkat meninggalkan negeri itu untuk menyelamatkan diri setelah dibekalkan oleh guru itu keris dan azimat setiap seorang.  Berjalanlah mereka dengan bersusah- payah dengan menjadikan daun kayu muda sebagai makanan dan lubang gua sebagai tempat bermalam.

Mereka akhirnya berjaya dikesan oleh pesuruh nakhoda Syam, yang berjumlah 500 orang itu setelah tiba di Gunung Arka di Gunung Wanadari. Kedua-dua beradik itu segera menyelamatkan diri dengan masuk ke dalam gua batu yang bernama Hamindar Singsih. Apabila melihat mereka masuk, pesuruh yang bernama Habsyi Bicu menutup mulut gua itu dengan batu dan dia begitu pasti bahawa kedua-dua beradik itu tidak akan dapat melepaskan diri mereka. Dengan takdir Allah, di dalam gua itu,  Ahmad dan Muhammad bersua dengan seorang tua yang sedang bertapa  bernama Tuan Syeikh Khialuddin. Pertapa itu tahu akan masalah yang sedang didepani oleh kedua-dua beradik itu lalu memberikan beberapa pengajaran untuk memperteguh iman mereka. Mereka turut dibekalkan dengan azimat dan keris. Keesokannya, setelah didoakan oleh Syeikh Khialuddin, kedua-dua beradik itu keluar melalui mulut gua yang lain untuk meneruskan perjalanan.

Salah seorang pesuruh nakhoda Syam terpandang akan kedua dua beradik yang berjaya melarikan diri itu lalu mengejutkan rakan-rakannya untuk mengejar Ahmad dan Muhammad. Oleh sebab tidak tahan dikejar, Ahmad dan Muhammad sepakat untuk menentang mereka. Berlakulah pertarungan antara Ahmad dan Muhammad dengan gerombolan pesuruh itu. Kejayaan Ahmad dan Muhammad menumpaskan empat orang Habsyi yang bernama Jimsa, Hisma, Nukangu, dan Selami telah menakutkan habsyi yang lain lalu mereka melarikan diri sambil disindir oleh kedua-dua beradik itu.  Melalui pesuruh-pesuruh itu, Ahmad mencabar nakhoda Syam supaya datang menemui mereka di Gunung Arakan di Hutan Wanadari.

Kedua-dua beradik itu meneruskan perjalanan.  Setelah enam hari mengembara, mereka tiba di sebatang pokok yang besar dan tinggi bernama Haruhara yang menjadi tempat tinggal geroda, gajah,harimau, dan singa. Di bawah pokok itulah kedua-dua beradik itu melepaskan lelah mereka. Muhammad menyuruh adiknya mencari air tetapi oleh sebab terlalu leka, Ahmad telah tersesat manakala Muhammad terlupa akan adiknya itu.


UNSUR DAN PENGARUH DALAM CERITA

PENGARUH HINDU
1 Nama-nama Hindu - Sang Maha Pendeta (guru Ahmad dan Muhammad); Dewi Permaisuri (bonda Ahmad dan Muhammad).
2 Konsep hukum karma - pihak yang mendukung nilai baik beroleh kejayaan/kemenangan (Ahmad dan Muhammad) manakala pihak yang mendukung nilai-nilai jahat beroleh kecelakazin/kekalahan (nakhoda Syam dan pesuruhnya).
3 Konsep pertolongan dalam keadaan-keadaan tertentu (unsur kebetulan) yang dikaitkan - Tuan Syeikh Khialuddin kebetulan berada dalam gua Hamindar Singsih yang menjadi tempat persembunyian Ahmad dan Muhammad dan telah membantu kedua-dua beradik itu.
4 Cabaran dan rintangan yang dihadapi watak baik / wira sebelum beroleh kesenangan - Ahmad dan Muhammad menempuh pelbagai kepayahan dalam perjalanan mereka.
5 Kewujudan binatang besar - dikatakan pokok Haruhara didiami burung geroda yang amat besar.
6 Konsep penghormatan terhadap manusia yang mulia - Ahmad dan Muhammad menyembah kaki Tuan Syeikh Khialuddin semasa bertemu dengan pertapa itu di dalam Gua Hamindar Singsih.
7 Konsep meyakini kekuasaan sesuatu benda - Ahmad dan Muhammad dibekalkan azimat oleh Sang Maha Pendeta dan Syeikh Khialuddin sendiri.

PENGARUH ISLAM
1 Nama-nama watak - Ahmad; Muhammad; dan Tuan Syeikh Khialuddin.
2 Konsep percaya kepada Allah - Sang Maha Pandeta berpesan kepada Ahmad dan Muhammad supaya tidak lupa akan ilmu Allah dan beribadat kepada-Nya; Syeikh Khialuddin mengingatkan kedua-dua beradik itu akan takdir Allah.
3 Konsep percaya kepada Rasul - Sang Maha Pandeta berpesan supaya Ahmad dan Muhammad ingat pada Rasul.
4 Budaya ucap salam - Ahmad dan Muhammad memberikan ucapan "Assalamualaikum" kepada Syeikh Khialuddin dan dijawab oleh Syeikh itu.
5 Kewujudan konsep keimanan        - Syeikh Khialuddin menyebut tentang ganjaran (pahala), syafaat dan balasan akhirat.
6 Konsep berdoa -- Syeikh Khialuddin berdoa ke hadrat Allah meminta kedua-dua beradik itu beroleh perlindungan-Nya.

Monday, 3 October 2011

SASTERA HIKAYAT
Definisi :

Sastera hikayat ialah cerita-cerita dalam bentuk bertulis yang menggunakan bahasa Melayu lama dengan langgam bahasa dan stuktur yang tertentu, membawa cerita ajaib yang berunsur hiburan, hasil daripada imaginasi dan fantasi pengarangnya.


Pembahagian/penggolongan Sastera HIkayat

Sastera Hikayat terbahagi kepada 3 golongan :

i. Sastera Hikayat Berunsurkan Hindu
ii. Sastera Hikayat Berunsurkan Hindu-Islam ( Zaman Peralihan )
iii. Sastera Hikayat Berunsurkan Islam

Monday, 12 September 2011

ADAT ISTIADAT DAN PANTANG LARANG DALAM TEKS SULALATUS SALATIN SEJARAH MELAYU.

a.               ADAT ISTIADAT
Adat mengadap raja di balairung,

Para pembesar akan disusun mengikut pangkat  kebesaran masing-masing. Bendahara, Penghulu Bendahari dan Temenggung akan duduk di seri balai.  Anak-anak raja akan duduk dibahagian serambi balai sebelah kiri dan kanan.  Sida-sida yang muda-muda akan duduk berselang seli  dengan Bentara dan hulubalang  yang berdiri di ketapakan balai.

Istiadat raja ke istana.

Gendang adi dipalu sebanyak tujuh ragam, nafiri dibunyikan.  Sampai kali ke tujuh, maka raja pun keluar bergajah di arak ke istana.   Mereka yang hadir akan duduk di tanah.

Adat menjunjung duli

Empat lima orang kepala bentara yang terdiri daripada sida-sida akan duduk di Seri balai.  Segala perkakas diraja seperti ketur,kendi.kipas,dan barang sebagainya diselang selang kedudukannya. Sementara puan dan pedang berada dikelekan kiri dan kanan.  Pedang kerajaan akan dipikul oleh Laksamana atau Seri Bija DiRaja.

Adat menyambut kedatangan Utusan Kerajaan dari Iuar.

Sambutan terhadap kedalangan utusan adalah berbeza mengikut tahap kebesaran kerajaan tersebut.  Apabila utusan dari kerajaan yang besar seperti Pasai dan Haru, sambutannya menggunakan selengkap alat kerajaan seperti gendang, serunai bcergajah dan lain-lain.  Sekiranya utusan datang dari negeri yang kurang kebesarannya, alat kelengkapan keraiaan untuk sambutan akan dikurangkan, cukup sekadar gendang, serunai sahaja, atau berpayung kuning atau bergajah.  Walau bagaimanapun sepersalinan tetap akan diberikan.

Adat penganugerahan gelaran.

Adat ini dimulakan dengan menjemput mereka yang menerima gelaran ke istana.  Jemputan penganugerahan adalah mengikut pangkat dan gelaran yang akan diterima.  Jika "Perserian" orang besar-besar akan menjemputnya.   Jika "Persangan",orang kecil menjemputnya.  Jika "Pertuanan", orang sedang menjemputnya.   Orang yang menerima anugerah akan dijemput dengan menggunakan gajah atau kuda.  Di istana, riwayat mereka akan dibaca dan diberi persalinan mengikut gelaran yang diberikan. Untuk Bendahara diberi lima ceper persalinan, anak raja dan menteri empat ceper persalinan, dan ada yang tiada berceper sekadar diampu oleh hamba raja.

Adat istiadat perkahwinan di Raja

Adat ini dimulakan dengan adat meminang dan adat berjaga-jaga selama empat puluh hari empat puluh malam.  Setelah selesai adat berjaga-jaga itu barulah diadakan majlis akad nikah.  Misalnya perkahwinan antara Raja Omar dengan Raja Fatimah, bermula dengan menghantar sirih pinang dan emas belanja, perarakan dengan gajah dan akad nikah oleh kadi.

Adat menyambut malam tujuh likur atau malam dua puluh tujuh.

Pada waktu siangnya sejadah akan diarak ke masjid. Temenggung akan gajah, puan serta segala alat kerajaan dan gendang akan dibawa terlebih dulu ke masjid.  Keesokannya, laksamana akan mengarakkan serban. Raia-raja Melayu akan berangkat ke masjid bertengkolok dan berbaju sarung.

Adat Raja Berangkat pada hari raya secara berusungan

Raja akan berangkat dengan usungan.  Kepala usungan kanan akan dipegang oleh Penghulu  Bendahari   dan sebelah kiri oleh Laksamana.  Di sebelah belakang pula Menteri Kedua.  Hulubalang berjalan di hadapan raja dengan membawa alat kerajaan di kiri dan kanan,  sementara Bentara memikul pedang.  Bendahara berjalan di belakang raja dengan kadi, pakeh segala orang besar dan segala menteri yang tua.

Adat menyambut hari raya.

Bendahara dan segala Orang Besar-besar akan duduk berkampung dan usungan akan diarak oleh Penghulu Bendahari.   Apabila usungan tiba, segala orang yang duduk dibalai turun berdiri, beratur bersaf-saf gendang akan dipalu tujuh ragam, diiringi nafiri. selepas tujuh kali, raja berangkat menaiki gajah dan diarak ke masjid dan barulah ke istana.


PANTANG LARANG / LARANGAN & HUKUMAN

Larangan memakai barangan berwarna kuning.

Orang-orang kebanyakan dilarang memakai sapu Langan, tepi tabir dan bantal besar yang berwarna kuning. Kain baju, destar yang berwarna kuning boleh dipakai sekiranya dianugerahkan oleh raja.

Larangan berbuat rumah bermanjungan bertiang gantung.

Rakyat dilarang membina rumah yang bertiang gantung dan tidak terletak ke tanah atau bertiang terus dari atap .

Larangan memakai penduk dan teterapan keris.

Orang kebanyakan dilarang bergelang kaki emas dan berkeroncong emas berkepala perak kecuali yang dianugerahkan oleh raja.

Larangan bertengkolok dan berbaju sarung.

Rakyat biasa tidak dibenarkan memakai baju sarung dan bertengkolok pada hari perkahwinan kecuali dikurniakan oleh raja.  Sekiranya adat ini tidak dipatuhi, akan dikenakan hukuman denda

Larangan berbaju keling.

Rakyat tidak dibenarkan memakai pakaian ini kecuali disediakan oleh orang-orang Besar.  Sekiranya adat ini tidak dipatuhi akan dikenakan hukuman denda.

Larangan berkelakuan biadap terhadap raja pembesar.

Rakyat mesti menghormati raja dan pembesar,  sekiranya engkar akan dijatuhkan hukuman bunuh.   Contohnya Perpatih Hitam cuba dibunuh oleh Laksamana kerana menguis tikar di hadapan Bendahara.

Larangan menyebarkan fitnah.

Perbuatan menyebarkan fitnah adalah berdosa besar.   Malah menyebabkan orang yang tidak bersalah teraniaya.   Hukuman bunuh terhadap orang yang menyebar fitnah. Contohnya, Raja Mandaliar dan Kitul dijatuhkan hukuman bunuh kerana mereka yang bertanggun9jawab menyebarkan fitnah.

Larangan tidak mengikut perintah raja.

Rakyat atau pembesar mesti mematuhi perintah kerana jika ingkar akan dikenakan hukuman bunuh.   Contohnya,  Seri Bija Diraja diperintahkan bunuh oleh Sultan Mahmud Syah kerana tidak datang menghadap pada hari raya.

Larangan memakai sesuatu yang menjadi hak seperti isteri dan gundik raja.

Sesuatu yang menjadi hak raja tidak boleh diganggu kerana akan dijatuhkan hukuman bunuh.  Contoh hukumah bunuh yang dijatuhkan kepada Hang Tuah yang dikatakan telah bermesra dengan salah seorang gundik raja.

Larangan menderhaka.

Rakyat tidak boleh sesekali menderhaka kepada raja.  Sekiranya menderhaka, mereka akan dikenakan hukuman bunuh.  Contohnya hukuman bunuh ke atas Bendahara Seri Maharaja serta seluruh ahli keluarganya kecuali Tun Fatimah kerana dikatakan Bendahara sedang merancang untuk merampas kuasa atau cuba mencabar hak dan kedudukan raja.

Larangan menggunakan paying putih dan kuning

Payung kuning untuk anak-anak raja dan orang-orang Besar.  Manakala payung putih untuk raja. Sekiranya tidak dipatuhi akan dikenakan didenda pati, yakni sekati lima.

Larangan bersekedudukan dengan isteri orang atau merampas isteri orang

Hukuman bunuh boleh dilakukan oleh si suami.  Contohnya Tun Biajid menimang-nimang lembingnya pada sultan kerana perbuatan Sultan Mahmud Syah berkendak dengan isterinya. Pengiring sultan cuba membunuh Tun Biajid kerana berkelakuan biadap depan sultan tetapi baginda melarang kerana tindakan Tun Biajid betul dari segi undang-undang.

Larangan mencuri dan mengambil harta orang atau barang orang yang tercicir.

Hukuman kepada pencuri ialah hukuman bunuh. Sesiapa yang terjumpa harta mesti dihantar ke balai yang disediakan.  Contohnya, semasa pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah, baginda bertindak membunuh pencuri-­pencuri yang ditemuinya pada malam baginda menyamar keluar untuk membanteras kegiatan kecurian yang terlalu berleluasa.

Larangan menyembah pembesar sebelum menyembah raja atau di hadapan raja.

Perbuatan menyembah pembesar sebelum menyembah raja akan dihukum cerca.  Contohnya, Bendahara Seri Maharaja telah mencerca Raja Mandeliar kerana hendak menyembah Bendahara Seri Maharaja di balai raja.

Larangan mengambil tunangan atau anak dara orang.

Hukuman bunuh akan dikenakan.  Contohnya, Sultan Abdul Jamal berusaha membunuh Hang Nadim kerana telah melarikan tunangannya Tun Teja.  Tetapi gagal kerana Hang Nadim sempat berlepas menyelamatkan diri dengan kembali ke Melaka.

Larangan-larangan diraja mengenai perhiasan, pakaian dan peralatan diraja

Larangan-larangan memakai kain kuning, membuat rumah dengan bentuk tertentu,  membuat perahu dengan kelengkapan tertentu, memakai perhiasan emas,  memakai keris tertentu dan lain-lain akan dikenakan hukuman sekati lima.


KEPENTINGAN ADAT ISTIADAT & PANTANG LARANG

1.             Menggambarkan keagungan dan kebesaran raja

Kedudukan raja yang tinggi dalam struktur pemerintahan dapat dilihat melalui segala adat istiadat dan juga pantang larang yang menunjukkan perbezaan ketara dengan golngan rakyat.  Sebagai contoh, kedudukan raja semasa dalam balai penghadapan.  Begitu juga dari segi pemakaian emas adalah barangan yang amat berharga adalah khusus untuk untuk golongan raja sahaja.  Ini menunjukkan kedudukan dan ketinggian martabat raja di kalangan rakyat.

2.            Menggambarkan Keagungan Kerajaan Melayu Melaka.

Adat istiadat yang disusun dan diperkenalkan oleh Sultan Muhammad Syah menunjukkan Kerajaan Melayu Melaka sebagai sebuah kerajaan yang agung, besar dan berdaulat.  Sistem pentadbiran yang tersusun di mana raja sebagai pemerintah dibantu oleh pembesar-pembesar yang berwibawa bagi melancarkan perjalanan pentadbiran negeri. 

3.            Menggambarkan kesetiaan Rakyat.

Melalui adat istiadat dan pantang larang dapat menggambarkan masyarakat Melayu yang taat dan patuh serta sanggup menjunjung segala perintah dan peraturan yang dikenakan oleh golongan pemerintah.  Mereka beranggapan bahawa golongan raja adalah berdaulat dan wajib ditaati dengan berpegang teguh prinsip :Pantang Melayu Derhaka Kepada Raja”.

4.            Mengukuhkan Institusi Istana dan Pembesar Melayu

Melalui adat istiadat dan pantang larang dapat menggambarkan institusi istana dan kuasa pembesar dilindungi daripada ancaman jahat yang cuba untuk menjatuhkan mereka kerana melalui adat dan pantang larang, rakyat seolah-olah dinafikan hak mereka.  Secara tidak langsung golongan istana dan pembesar akan dipandang tinggi dan mulia dan rakyat tidak berpeluang untuk mencabar institusi beraja.

PROSA MELAYU TRADISIONAL (SASTERA KETATANEGARAAN) - BUSTAN AL-SALATIN (BAB III FASAL 2)

KESUSASTERAAN Ketatanegaraan dikenal juga sebagai sastera adab. Kesusasteraan ketatanegaraan  ini menjelas­kan hal-hal yang berkaitan dengan petunjuk atau panduan bagi golongan pentadbir, khususnya raja-raja, dalam urusan pen­tadbiran. Dalam karya ketatanegaraan ini, terdapat penerangan tentang cara-cara mentadbir sesebuah negeri berdasarkan contoh-­contoh pemerintahan raja-raja pada zaman dahulu. Raja-raja yang menjadi contoh daiam pengemukaan cara-cara pentadbiran ini, ialah raja-raja dari Timur Tengah, sama ada yan beragama islam ataupun yang bukan beragama Islam. Selain itu, terdapat juga penerangan tentang pemerintahan Khalifah al-Rasyidin.

Kesusasteraan Ketatanegaraan Melayu yang dianggap terkenal  ialah Taj-al-Salatin yang dikarang oleh Bukhari al-Jauhari pada tahun 1603 di Acheh. Buku ini mengandungi 24 fasal yan­g menyentuh pelbagai hal tentang kehidupan manusia di dunia ini, terutama daripada segi moral dan peraturan.  Kesusasteraan jenis ini yang dianggap terbesar ialah Bustan al- Salatin yang ditulis oleh ulama bernama Nuruddin al-Raniri di Acheh antara tahun 1637 M hingga 1641 M.  Kitab ini mengandungi 7 bab dan 40 fasal. Kitab ini antara lain bermuat hal-hal yang berkaitan dengan sejarah nabi dan raja-raja, menceritakan raja-raja yang adil dan zalim, serta menyatakan ilmu firasat dan ilmu tabib. Selain dua kitab tersebut, terdapat kitab lain seperti Thamarat al-Muhimmah dan Kitab Nasihat Segala Raja-raja.

KAJIAN TEKS "BUSTAN AL-SALATIN (BAB III FASAL 2)"

Bab ini mengemukakan hal-hal yang berkaitan dengan perlakuan dan tindakan nabi-nabi, khalifah, dan raja yang adil sebagai­mana yang dituntut oleh agama Islam. Perlakuan dan tindakan mereka ini dikemukakan melalui peristiwa-peristiwa tertentu. Hal ini kemudiannya diikuti pula dengan pengajaran atau nasihat yang dapat dikutip daripada peristiwa yang melibatkan tokoh-tokoh berkenaan. Selain itu, dikemukakan juga nas-nas daripada al­Quran dan hadis Nabi.
Peristiwa I
Seekor semut berjalan di atas tubuh Nabi Allah Sulaiman ketika nabi itu sedang, tidur. Nabi Allah Sulaiman mengambil dan men­campakkan semut itu dengan tangan kanan. Perbuatan Nabi Allah Sulaiman itu menimbulkan kemarahan semut. Lalu semut itu menyatakan kepada Nabi Allah Sulaiman bahawa Allah Taala akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang melakukan penganiyaan di akhirat kelak. Penjelasan semut itu telah menyebabkan Nabi Allah Sulaiman pengsan dan apabila sedar, baginda meminta semut dipanggil menghadapnya. Nabi Allah Sulaiman memohon maaf daripada semut. Semut bersetuju memaafkan baginda tetapi dengan mengemukakan tiga syarat, iaitu:

1              Jangan tertawa dan mementingkan diri sendiri dalam dunia ini;
2              Jangan kedekut/jangan menolak permintaan orang;
3             memelihara orang-orang yang berada di bawah kekuasaannya.

Peristiwa 2
Ketika Nabi Sulaiman diangkat menjadi khalifah atau raja, semut tidak dapat hadir kerana menziarahi Nabi Allah Daud yang wafat.  Apabila semut menziarahi Nabi Allah Sulaiman kemudiannya, semut menjelaskan kepada baginda bahawa mengunjungi orang vang meninggal dunia adalah lebih utama daripada mengunjungi pelan­tikan khalifah. Semut juga menyatakan bahawa tugas sebagai khalifah penuh dengan cabaran dan akan menghadapi keadaan masa hadapan yang belum pasti.

Peristitwa  3
Semasa meronda pada suatu malam, Khalifah Umar al-Khatab telah mendengar keluhan dan rungutan seorang wanita tentang diri baginda. Hal itu telah mendorong baginda Mengetuk pintu rumah wanita itu untuk mengetahui hal yang sebenarnya. Baginda memperkenalkan dirinya kepada wanita itu dan menyatakan bahawa baginda tidak berupaya untuk mengetahui segala hal tentang rakyatnya.  Wanita itu berasa takut lalu meminta maaf tetapi per­mohonan maaf wanita itu telah menyebabkan Khalifah Umar pengsan. Setelah tersedar daripada pengsan, Khalifah Umar segera bertanya tentang kepayahan yang dihadapi oleh wanita itu.   Wanita itu menyatakan bahawa dia dan anak-anak-nya sedang dalam ke­laparan. Setelah mendengar penjelasan wanita itu, Khalifah Umar kembali ke rumahnya dan membawa sendiri sebakul tepung gandum dan sebakul kurma lalu menyerahkannya kepada wanita itu seraya memohon maaf daripadanya.

Peristiwa  4
Semasa berjalan-jalan di segenap lorong di Madinah pada satu malam, Khalifah Umar terdengar akan satu suara dari sebuah rumah.   Melalui firasatnya, baginda tahu bahawa orang-orang itu sedang melakukan maksiat. Khalifah Umar begitu marah lalu memanjat dinding rumah itu dan terlihatlah oleh baginda akan sepasang lelaki
 
dan perempuan sedang menghadap arak. Baginda memarahi mereka lantaran perbuatan mereka itu. Lelaki itu menyabarkan baginda dan mengakui kesalahannya tetapi pada masa yang sama berkata bahawa Khalifah Umar juga telah melakukan tiga kesalahan. Per­tama, baginda mencari kesalahan orang;  kedua baginda rnemasuki rumah bukan dari depan; ketiga baginda memasuki rumahnya tanpa kebenaran. Lelaki itu mengemukakan nas-nas daripada al-Quran untuk menyokong hujahnya.   Khalifah Umar mengakui kebenaran nas itu dan meminta maaf atas kesilapannya. Walau bagaimanapun, baginda bertegas menyatakan bahawa perbuatan lelaki itu adalah salah lalu menyeru mereka supaya bertaubat. Lelaki itu akur akan saranan Khalifah Umar dan Khalifah Umar pun memaafkan kesalahannya.


Peristiwa  5

Pada suatu malam, Khalifah Umar dan Zaid bin Muslim, hambanya, berjalan-jalan di luar Madinah.  Apabila tiba di perkuburan Baqi, mereka terlihat akan api.  Mereka menghampirinya dan mendapati ado seorang wanita dengan tiga orang anaknya yang sedang menangis kerana kelaparan. Setelah mendapat keizinan, Khalifah Umar mendekati wanita itu.  Baginda bertanya akan sebab-musabab  mereka bermalam di perkuburan itu.  Wanita itu bahawa dia datang dari sebuah kampung untuk memasuk     i Madinah.  Malangnya sewaktu tiba di Madinah, hari sudah malam dan pintu kota telah ditutup.   Apabila ditanya oleh Khalifah Umar tentang ilmasakan"nya,  wanita itu menjelaskan bahawa dia sekadar berpura-pura memasak bagi melekakan anak-anaknya.           Setelah mendengar penjelasan wanita itu, Khalifah Umar dan Zaid segera pulang ke kota Madinah. Baginda telah membeli tepung dan daging untuk diberikan kepada wanita itu. Baginda sendiri yang memikul barang-barang itu walaupun Zaid meminta kebenaran untuk memikulnya.   Baginda jugalah yang memasak dan menghidangkan makanan itu kepada wanita dan anak-anaknya itu.


PENGAJARAN DARIPADA PERISTIWA-PERISTIWA TERSEBUT

1.         Kita hendaklah mendengar kisah-kisah yang dapat memberi­kan teladan kepada kita, terutama kisah para nabi dan para khalifah.

2.         Kita (dan para pemimpin) hendaklah mengasihi dan menghormati semua makhluk di dunia ini dan jangan sekali-kali menganiaya mereka agar tidak diseksa di akhirat kelak. Dalam hal ini, perbuatan Nabi Allah Sulaiman mencampakkan semut yang berjalan di atas dadanya adalah suatu bentuk penganiayaan dan perbuatan itu wajar dijauhi.

3.            Kita (dan para pemimpin) hendaklah maaf-memaafkan antara satu sama lain tanpa mengira status diri masina-masing.  Perlakuan Nabi Aliah Sulaiman yang bersedia memohon maaf daripada semut atas kesilapannya dan kesediaan semut memaafkan  kesalahan baginda itu wajar diteladani.

4.        Kita mestilah bersimpati terhadap kesedihan yang ditanggung oleh orang lain. Dalam hal ini, tindakan semut yang men­ziarahi kematian Nabi Allah Daud dengan mengesampingkan majlis pelantikan Nabi Allah Sulaiman sebagai khalifah memperlihatkan rasa simpati yang tinggi.
5.         Para pemimpin mestilah menjalankan tanggungjawabnva ter­hadap rakyat jelata. Mereka mestilah bersedia menjenguk rakyat bawahannya untuk mengetahui masalah yang dihadapi mereka.  Tindakan Khalifah Umar yang pergi ke segenap ceruk negeri Madinah untuk mengetahui segala hal-ehwai rakyatnya wajar dijadikan ikutan.

6       Sebagai rakyat, kita mestilah rasional. Kita tidak wajar menyalahkan para pemimpin atas kesengsaraan yang kita tanggung, sebaliknya perlulah bersedia menemui mereka untuk memaklumkan kesengsaraan tersebut.  Perlakuan wanita tua yang menyalahkan Sayidina Umar atas kesengsaraan yang ditanggungnya tidak wajar diteladani.

7.         Setiap pemimpin mestilah tegas melaksanakan hukum dan syariat Allah. Tindakan Khalifah Umar yang memarahi sepasang lelaki-perempuan yang sedang menghadap arak dalam usaha hendak mengembalikan mereka ke jalan Aliah haruslah dijadikan contoh.

8.        Sebagai rakyat, kita haruslah berani menegakkan kebenaran, khususnya yang berkait dengan agama. Dalam hal ini, kita wajar meneladani keberanian lelaki yang dimarahi Sayidina Umar kerana melakukan maksiat itu.  Dia dengan berani menegur kesalahan Sayidina Umar sehingga Sayidina Umar menyedari kesalahannya dan meminta maaf daripada lelaki itu.

9.        Dalam menegakkan hukum Allah, setiap pemimpin mestilah mematuhi ketetapan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.  Dalam hal ini, tindakan Khalifah Umar yang telah melanggar ketetapan yang digariskan Allah di dalam al­Quran dalam usahanya hendak mencegah maksiat hendaklah dihindari.

1o.       Para pemimpin mestilah bersedia membantu rakyat bawahannya. Dalam hal ini, hendaklah kita meneladani sikap Sayidina Umar yang membantu ibu dan tiga anaknya yang kelaparan sehingga baginda telah bersusah payah membeli, memasak  menghidangkan gandum dan daging kepada mereka.

11.       Kita mestilah berterima kasih dan bersyukur atas jasa yang diterima.  Dalam hal ini,  tindakan wanita-wanita yang dibantu oleh Sayidina Umar yang mendoakan kesejahteraan ke atas baginda sebagai tanda kesyukuran wajar kita jadikan contoh dan ikutan.