Definisi
- Sejenis cerita rakyat di dalam sastera lisan / sastera rakyat
- Cerita yang mengandungi unsur humor atau lucu
- Cerita yang membawa kesan yang menggembirakan dan gelihati kerana kelucuan
- Unsur lucu dibawa melalui sifat watak-watak geli lucu, gelihati seterusnya membawa rasa gembira
dan terhibur.
JENIS-JENIS CERITA JENAKA
- Umumnya cerita jenaka terbahagi kepada 2 jenis:
a. Cerita Jenaka Tempatan:
Iaitu cerita jenaka yang lebih berorientasikan soal-soal yang berkaitan dengan isu tempatan dari segi watak, latar, persoalan dan sebagainya.
Contoh:
Cerita Pak Pandir, Cerita Lebai Malang, Cerita Pak Kaduk, Cerita Pak Belalang dan Cerita Si Luncai.
b. Cerita Jenaka Pengaruh Asing / Luar:
Iaitu cerita yang mendapat pengaruh terutama Hindu dan Islam (Arab Parsi) kerana masyarakat Melayu pernah menerima pengaruh-pengaruh tersebut.
Contoh:
Cerita Mat Jenin ( Hindu ), Cerita Abu Nawas dan Cerita Musang Berjanggut (Islam )
CIRI-CIRI CERITA JENAKA
a. Dari segi watak dan perwatakan:
Watak utama dalam cerita jenaka adalah dari kalangan rakyat bawahan yang diberi peranan ysng boleh melahirkan kelucuan. Terdapat juga watak dari kalangan istana atau raja tetapi sebagai watak sampingan sahaja.
Sifat-sifat watak lucu dalam cerita jenaka dibahagikan kepada 3 golongan iaitu:
(i) Watak bodoh-sial – cerita Lebai Malang dan Pak Kaduk
(ii) Watak pintar-bodoh – cerita Pak Pandir
(iii) Watak pintar – cerita Pak Belalang dan Si Luncai
Kelucuan cerita jenaka dilahirkan dari sifat dan tindakan atau perlakuan yang dilakukan oleh watak itu sendiri. Nama watak melambangkan sifat-sifat watak. Contohnya watak bodoh-pintar seperti watak Pak Pandir, watak bodoh-sial seperti Lebai Malang dan Pak Kaduk, serta watak pintar seperti Si Luncai dan Pak Belalang.
Contoh:
(i) Sifat terlalu bodoh hingga mendatangkan bencana melakukan kesilapan kerana kebodohan tetapi melucukan. Contohnya cerita Lebai Malang, unsur lucu timbul daripada sifat bodoh-sialnya. Beliau tidak dapat memilih tempat majlis kenduri yang mana harus dihadiri terlebih dulu kerana ingin menghadiri ketiga-tiga tempat tersebut akibat sifat tamak dan haloba. Kelucuan bertambah apabila lempengnya digonggong oleh anjing.
(ii) Sifat terlalu pintar dan bijaksana. Tindakan watak itu tidak dapat kita jangkakan, mungkin secara sengaja tetapi amat melucukan. Contoh Si Luncai berjaya menipu saudagar Keling dengan mengatakan ia dimasukkan ke dalam guni sebab enggan berkahwin dengan puteri raja. Akhirnya saudagar itu mengambil tempatnya di dalam guni.
b. Dari segi plot cerita:
Plot cerita jenaka bersifat sederhana, mudah, lurus, kronologi dan tidak berbelit-belit. Cerita atau peristiwa lebih tertumpu kepada watak utama sahaja.
Dalam satu-satu cerita jenaka terdapat episod-episod kecil dan berasingan tetapi dapat berdiri sendiri sebagai sebuah cerita.
Dalam jalinan plotnya dimasukkan unsur-unsur ketegangan / konflik, klimaks serta penyelesaian cerita berakhir dengan ‘happy-ending’ atau ‘tragic-ending’.
c. Dari segi latar:
Latar tempat cerita jenaka berlaku di alam nyata, tetapi tidak dapat dipastikan dimanakah tempat yang sebenar. Cerita berlaku di kawasan pedalaman / kampung di pinggir hutan dan sebagainya.
Latar masyarakatnya menggambarkan corak hidup masyarakat Melayu tradisional terutama masyarakat bawahan seperti petani, penternak dan nelayan.
Manakala latar masanya pula cerita berlaku pada zaman silam atau lampau iaitu suatu masa yang tidak dapat dipastikan bilakah berlakunya cerita tersebut.
d. Dari segi tema:
Tema cerita jenaka adalah mengenai watak / pelaku dalam cerita yang pintar dan bodoh yang boleh menimbulkan kelucuan yang mencuit hati khalayak. Melalui watak pintar kita dapat lihat tipu muslihat watak apabila menghadapi kepayahan atau masalah. Manakala melalui watak bodoh kita dapat lihat perlakuan yang lurus, bodoh serta jahil. Watak-watak pintar ialah Pak Belalang, Si Luncai dan kadang-kadang Pak Pandir. Manakala watak-watak bodoh terdiri daripada Pak Pandir, Pak Kaduk dan Lebai Malang.
e. Dari segi bentuk:
Cerita jenaka berbentuk naratif / cerita yang memaparkan cerita tentang sifat dan peranan watak utama yang dapat menimbulkan kelucuan kepada khalayak. Cerita atau kelucuan tersebut lahir melalui watak bodoh-pintar seperti Pak Pandir, watak bodoh-sial-malang seperti Pak Kaduk dan Lebai Malang serta watak pintar seperti Pak Belalang dan Si Luncai.
f. Dari segi penggunaan gaya bahasa:
Cerita jenaka menggunakan gaya bahasa yang mudah difahami. Penggunaan bahasanya ialah bahasa Melayu klasik atau bahasa pertuturan harian. Terdapat juga penggunaan bahasa Arab dan bahasa istana. Terdapat juga penggunaan bahasa berirama yang bertujuan menghiburkan khalayak, misalnya dalam cerita Pak Pandir, Lebai Malang dan Pak Kaduk.
g. Dari segi fungsi:
Berfungsi sebagai alat hiburan, alat pendidikan (didaktik) dan sebagai alat kritikan sosial.
FUNGSI CERITA JENAKA
1. Sebagai hiburan – berupaya memberi ketenangan fikiran dan merehatkan. Unsur lucu pada sifat watak dan peristiwa lucu pada watak utama membawa kesan menggelikan hati dan gembira.
Contoh :
(a) Gambaran fizikal watak dapat dilihat pada Si Luncai “ Perutnya besar, punggungnya tonggek dan apabila berjalan menjemur dada”
(b) Gambaran sifat-sifat watak yang melucukan – Pak Pandir membawa balik seekor kambing jantan kerana disuruh memanggil lebai untuk majlis kenduri.
2. Sebagai alat Pengajaran & Pendidikan
Dalam cerita-cerita jenaka terselit unsur pengajaran yang boleh dijadikan panduan oleh khalayak. Unsur nasihat dan pengajaran jelas tergambar dalam cerita jenaka seperti larangan berjudi, jangan suka berangan-angan, jangan percaya kepada ramalan nujum dan sebagainya.
Contoh:
a. Seorang yang bodoh dan lurus selalu ditipu oleh orang lain . Contoh : Pak Kaduk diajak bertukar ayam dengan raja
b. Jangan terlalu percaya kepada nujum. Setengah-tengahnya hanya tipu helah sahaja. Contoh, Pak Belalang menunjukkan kerbau yang hilang kepada orang kampong
c. Jangan terlalu mengikut hati yang marah. Akhirnya kita juga yang menyesal. Contohnya, Pak Kaduk yang marah isterinya menyindir, memukul isterinya hingga mati
d. Jangan terlalu tamak . Contohnya Pak Kaduk dan Lebai Malang yang menghadiri kenduri.
e. Jangan amalkan perbuatan berjudi atau bertaruh dengan harta benda, Amalan ini akan membawa kepada kemusnahan dan kepapaan. Contohnya, dalam cerita Pak Belalang , nakhoda kehilangan kapal dan hartanya kerana dipertaruhkan dengan raja.
3. Sebagai alat kritikan sosial (mengkritik perkara-perkara yang tidak baik dilakukan oleh masyarakat)
a. Mengkritik golongan yang tidak tetap pendirian kerana didorong oleh sikap tamak akan mengalami kerugian atau bernasib malang.
Contoh:
Golongan lebai (golongan agama) yang tamak sehingga tidak tetap pendiriannya – akan mengalami kerugian dan akan bernasib malang. Contohnya, Lebai Malang dalam cerita Lebai Malang, yang menerima jemputan di tiga tempat, kenduri kematian, kenduri khatam Quran dan kenduri maulud. Akibat tamak Lebai Malang gagal menentukan tempat mana yang harus didahulukan yang akhirnya semua tempat telah selesai acaranya ketika dia sampai.
b. Mengkritik golongan yang bergantung kepada kemujuran nasib dan secara kebetulan semata-mata yanpa kebijaksanaan akal fikiran dan ilmu pengetahuan tidak akan menjamin kebahagiaan hidup.
Contoh:
Dalam cerita Pak Belalang, Pak Belalang pada mulanya mendapat hadiah dan kemewahan setelah berjaya menujum atau meneka jantan betina anak itik, hujung dan pangkal kayu dan meneka benda yang berada dalam genggaman raja. Semua kejayaan tersebut adalah secara kebetulan atau kemujuran nasib dan melalui peranan anaknya Belalang. Akhirnya Pak Belalang terpaksa membakar rumahnya sendiri, sebagai alasan kepada raja yang alat-alat tilikan dan nujumnya telah musnah.
c. Mengkritik golongan pemerintah yang menggunakan kuasa dan kedudukan untuk melakukan penindasan dan penipuan terhadap rakyat bawahan yang miskin dan bodoh.
Contoh:
Dalam cerita Pak Kaduk. Pak Kaduk menyabung ayam dengan ayam raja. Sebelum ayam disabungkan raja telah membuat muslihat dengan menukar ayam baginda dengan ayam Pak Kaduk. Pak Kaduk telah menggadaikan kampungnya kepada raja untuk meminjam wang sebanyak 50 rial sebagai wang pertaruhan. Akhirnya ayam raja menang melalui tipu muslihatnya dan Pak Kaduk tergadai kampungnya akibat kekalahan tersebut.
d Mengkritik golongan yang hanya berangan-angan tanpa berusaha tidak akan berjaya mencapai kejayaan.
Contoh:
Dalam cerita Mat Jenin. Mat Jenin bekerja mengambil upah memetik buah kelapa. Semasa memanjat, Mat Jenin berangan-angan hasil petikan kelapa akan dijual, wangnya akan dibelikan binatang ternakan seperti ayam, kambing, lembu dan kuda. Apabila banyak wang dan harta terkumpul, Mat Jenin berangan-angan mengahwini anak raja. Ketika berangan-angan itu, Mat Jenin terjatuh dari pokok kelapa sebelum memetik buahnya dan mati.
e. Mengkritik golongan pemerintah / atasan yang pada ketika tertentu akan dapat diatasi atau diperdayakan oleh rakyat bawahan.
Contoh:
Dalam Cerita Si Luncai. Si Luncai menyindir dan mengkritik kezaliman raja. Dikatakannya dia adalah malaikat Si Luncai yang dibunuh oleh raja. Dia dapat menemui ayah bonda raja di akhirat yang marah terhadap tindakan raja tersebut. Dengan tipu muslihat Si Luncai, raja bersetuju menemui ayah bondanya. Akhirnya Si Luncai menjadi raja dan berkahwin dengan puteri raja.
f. Mengkritik golongan manusia yang suka melakukan kerja-kerja tidak berfaedah , membuang masa, melalaikan dan merugikan serta membawa kepada keruntuhan moral. Misalnya Pak Kaduk hidup berjudi, menyabung ayam, akhirnya menang sorak, kampungnya tergadai.
g. Mengkritik golongan yang jahil dan bodoh melampau. Misalnya dalam cerita Pak Pandir, Pak Pandir tidak dapat membezakan antara kerbau dengan keri / sabit, tidak dapat membezakan antara air panas suam dengan air panas mendidih dan sebagainya akibat kejahilan dan kebodohan melampau.
CONTOH CERITA JENAKA MELAYU /
TIGA JENIS GOLONGAN WATAK JENAKA MELAYU
1) Bodoh-Sial-Malang (PAK KADOK)
a. Pak Kaduk menukar ayamnya Biring Si Kunani dengan ayam raja kerana mempercayai kata-kata raja. “Ayamnya” kalah dan ayam yang diberi kepada raja menang. Hasilnya, Pak Kaduk menang sorak tetapi kampungnya tergadai.
b. Pak Kaduk pulang bertelanjang bulat kerana baju kertasnya koyak akibat terlalu gembira sebab disangka ayamnya menang.
c. Pak Kaduk terlalu tamak. Ia memilih jemputan yang disediakan dengan dua ekor lembu, tetapi terlambat sampai kerana terpaksa melawan arus
d. Setibanya dirumah, isterinya menyindir, dipukulnya sampai mati.
e. Dalam pelayaran ke rumah kawan, dia memasang layar perahu, tetapi angin berhenti meniup. Pak Kaduk membiarkan perahu hanyut sahaja.
Bodoh-sial-Malang (LEBAI MALANG)
a. Lebai Malang tidak dapat membuat keputusan yang betul bila beliau dijemput menghadiri 3 tempat kenduri iaitu kenduri orang mati, khatam Quran dan kenduri Maulud
b. Dia terlewat sampai untuk dua kenduri. Pada kenduri ketiga dia diberi lempeng untuk bekalan pulang. Dalam perjalanan pulang dia teringatkan nira kabungnya.
c. Ditinggalkan bungkus lempeng di bawah pokok dan terus memanjat sigai. Lempeng dibawa lari oleh anjing. Semasa kejar mengejar dengan anjing, bajunya habis hilang dan dia pulang berbogel ke rumah.
2) Bodoh – Pintar ( PAK PANDIR )
Contoh kepintaran Pak Pandir :
a. Ia dapat membunuh gergasi laki bini dengan menipu gergasi supaya mereka menyeberang sungai di dalam tempayan. Tempayan itu tenggelam dibawa arus.
b. Pak Pandir yang inginkan kuih menipu Mak Andeh mengatakan ia hendak belayar. Mak Andeh menyediakan kuih dan Pak Pandir menghabiskan kuih itu di atas para rumah sahaja.
Contoh kebodohan Pak Pandir
a. Mak Andeh menyuruhnya memancing menggunakan belalang rusa, dia menggunakan rusa yang sebenar, masakan mendapat ikan.
b. Pak Pandir memandikan anaknya dengan air panas betul kerana Mak Andeh memesan memandikan anak itu dengan air suam kuku
c. Pak Pandir tidak dapat mengenal mayat anaknya yang terjatuh. Mayat itu dikatakan mayat anak orang lain.
3) Watak pintar – ( PAK BELALANG )
a. Pak Belalang dijadikan ahli nujum Negara
b. Pak Belalang boleh meneka jantina dua ekor itik setelah mengetahui rahsia daripada nahkoda kapal bahawa yang menyelam dulu itulah itik betina
c. Pak Belalang boleh meneka belalang di dalam genggaman raja secara kebetulan sahaja.
Watak Pintar (SI LUNCAI)
a. Si Luncai berjaya melekakan pesuruh-pesuruh raja yang diberi tugas untuk membunuhnya. Sedang mereka asyik menyanyi ia terjun ke dalam sungai dan berenang melepaskan dirinya
b. Si Luncai berjaya menipu raja setelah memakai pakaian saudagar Keling. Raja amat hairan. Si Luncai mengatakan dia baharu sahaja pulang dari akhirat dan datuk nenek raja memberi pesan menyuruh raja datang ke sana. Raja terpedaya dan masuk ke dalam sebuah peti kaca yang dihulur ke dalam lubang. Bila raja mangkat, Si Luncai berkahwin dengan tuan puteri dan menduduki takhta kerajaan.
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteterbaik. ble sy 'pinjam'info ini untuk tugasan sy?
ReplyDeletedan ble tau sumber rujukan cg?