Friday, 5 August 2011

Sastera Hikayat Pengaruh Hindu

SASTERA HIKAYAT BERUNSUR HINDU
DEFINISI:

Sastera hikayat menurut Emies M.G dalam buku Bunga Rampai Melayu Kuno ialah cerita-cerita yang bentuk bertulis dalam langgam bahasa dan struktur yang tertentu, yang membawa cerita ajaib yang berunsur hiburan. Cerita sastera hikayat ini berkisar di istana dengan watak utama yang terdiri daripada putera dan puteri yang jelita, berani serta pahlawan.

Hikayat Melayu pengaruh Hindu yang terkenal ialah hikayat yang disadur secara langsung atau petikan-petikan terjemahan daripada bahagian-bahagian tertentu daripada dua buah kitab epik Hindu iaitu Mahabharata dan Ramayana. Mahabharata dikenali sebagai cerita Pendawa dalam kesusasteraan Melayu.

Daripada Epik Mahabharata : Hikayat-hikayat Melayu yang disadur atau terjemahan bahagian-bahagian tertentu dikenali sebagai Pendawa dalam kesusasteraan Melayu ialah;

Hikayat Pendawa Lima
Hikayat Pendawa Jaya
Hikayat Panca Kelima
Hikayat Pandawa
Hikayat Sang Boma

Daripada Epik Ramayana : Hikayat Melayu yang disadur dari epik Hindu ini ialah :

Hikayat Seri Rama
Hikayat Maharaja Rawana

CIRI-CIRI SASTERA HIKAYAT BERUNSUR HINDU

Dalam sastera hikayat berunsur Hindu terdapat beberapa ciri yang terkandung di dalamnya. Iaitu dari segi struktur isi cerita, watak dan perwatakan, latar (setting) cerita, dan kaya dengan unsur-unsur Hindu.

1. Dari segi tema

Sastera hikayat berunsur Hindu ini mempunyai tema mengenai tentang kisah-kisah pengembaraan, percintaan serta peperangan sehingga watak itu mendapat kejayaan dan kesenangan dalam hidup.

Hikayat-hikayat Melayu berunsur Hindu secara umumnya mengandungi unsur-unsur cerita roman kerana hampir keseluruhan ceritanya dalam hikayat jenis ini membawa tema percintaan, pengembaraan dan juga peperangan yang berakhir dengan watak-watak utamanya mencapai kejayaan dan kebahagiaan hidup. Misalnya dalam Hikayat Si Miskin, pertemuan antara Marakarma dengan Puteri Cahaya Khairani membuahkan perasaan cinta di antara kedua-dua watak tersebut. Dalam hikayat berunsur hindu ini dipenuhi dengan peristiwa peperangan di antara wira dengan musuh mereka. Biasanya wira kan menunjukkan kegagalannya dengan senjata kesaktian yang dimiliki oleh wira tersebut sehingga mampu mengalahkan musuh mereka. Tema peperangan itu merupakan klimaks dalam pertentangan antara kuasa baik dan jahat. Walaubagaimanapun wira selalunya akan mendapat kemenangan.

            2.        Dari Segi Struktur / plot

Struktur isi cerita  melibatkan jalan cerita yang begitu panjang tetapi dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu awal cerita, pertengahan dan kemudian penyelesaian cerita. Awal cerita adalah permulaan cerita tersebut. Manakala pertengahan cerita pula adalah bagaimana cerita itu mula berkembang. Kemudian penyelesai cerita pula, di mana cerita itu berakhir dan disitu juga cerita itu menemui kebahagian ataupun kesedihan.

Pada awal cerita, ia mengisahkan tentang asal usul keturunan watak wira dan wirawati tersebut serta latar belakang keluarga mereka, keunikan serta kesaktian yang dimiliki oleh kedua-dua watak tersebut dan juga kisah sebelum pengembaraan wira dan wirawati tersebut.

Manakala pada pertengahan atau ketika pengembaraan  cerita tersebut, watak utama menjadi tumpuan dan bahagian ini mula berkisarkan tentang kisah sewaktu pengembaraan mereka. Dalam pada itu juga, watak wira dan wirawati ini akan menghadapi pelbagai rintangan dan halangan seperti percintaan, fitnah, peperangan dan juga akan menempuhi pelbagai ujian hidup. Mereka akan hidup dalam kesengsaraan. Selain daripada itu, mereka juga akan berhadapan dengan watak-watak penghalang.

Pada penyelesaian cerita pula, biasanya berakhir dengan happy ending iaitu kejayaan watak wira dalam perjuangannya. Watak wira dan wirawati berjaya mengatasi segala halangan dan rintangan yang terjadi ke atas mereka ketika dalam pengembaraan ataupun pertengahan cerita tersebut. Mereka juga berjaya mengalahkan watak-watak utama yang cuba menjadi penghalang mereka. Mereka mendapat kemenangan dan hidup bahagia.


3. Watak dan perwatakan :

Watak dalam sesebuah sastera hikayat itu amat penting sama seperti di dalam novel. Ini kerana watak dapat menghidupkan lagi jalan cerita sesebuah hikayat mahupun novel. Watak dan perwatakan sastera hikayat Hindu melibatkan watak-watak tempatan. Terdapat beberapa watak di dalam sastera hikayat Hindu. Dua daripadanya ialah watak baik iaitu protogonis dan watak jahat iaitu antogonis.

Watak protogonis melambangkan kebaikan pada watak utama tersebut. Ia bersifat keperwiraan, gagah berani, bersemangat waja, kental dan sedia menghadapi segala rintangan yang mencabar. Selalunya mereka memiliki alat-alat tertentu ataupun senjata sakti yang tidak dimiliki oleh orang kebanyakan. Wira juga selalunya akan mencapai kejayaan.

Manakala watak jahat atau antogonis pula, melambangkan kejahatan. Sifat yang dimiliki oleh mereka ialah sifat yang tidak bermoral, suka menghancurkan dan menghalang kejayaan watak utama. Watak ini juga mendatangkan masalah, menindas watak baik dan mendapat balasan yang setimpal.


4. Latar Cerita

Meliputi alam yang luas dan tidak terbatas seperti alam kayangan, di bumi dan di lautan.

Sementara dari segi latar cerita, ia meliputi alam yang luas dan tidak terbatas. Kehidupan mereka diliputi dengan alam kayangan, di bumi mahupun di dasar laut. Dunia khayalan yang khususnya untuk didiami oleh para dewa. Di alam-alam kayangan tersebut terdapat kerajaan yang diperintah oleh raja-raja yang terdiri daripada dewa-dewa yang tertentu sahaja.


5. Kaya dengan unsur-unsur Hindu

Sastera hikayat berunsur Hindu juga banyak memasukkan unsur-unsur kesaktian seperti jelmaan watak, senjata sakti dan sebagainya. Kebanyakan falsafah yang berunsur-unsur agama Hindu ini amat mengagung-agungkan dewa-dewa Hindu sebagai makhluk yang berkedudukan tinggi. Selain itu terdapat unsur-unsur sayembara untuk mendapatkan isteri dan juga falsafah pengajaran hindu. Dalam hikayat sastera hindu ini terdapat unsur-unsur kepercayaan Hindu seperti “upacara berkaul” iaitu doa yang ditujukan untuk mendapat sesuatu yang dihajatkan dari dewa tertinggi.


i. Falsafah agama Hindu seperti keagungan kepada dewa-dewa Hindu sebagai makhluk yang menduduki tempat yang mulia dan tinggi. Misalnya Dewa Agni dalam Hikayat Seri Rama , penjaga api telah menyelamatkan Sita Dewi daripada hangus terbakar.

ii. Unsur sayembara untuk mendapatkan isteri. Contoh Seri Rama terpaksa mengadu kecekapan bermain panah sebelum berjaya mendapatkan Sita Dewi

iii. Unsur Sakti seperti senjata sakti, panah sakti, binatang-binatang sakti seperti gajah, kijang dan burung jentayu

iv. Unsur falsafah pengajaran Hindu seperti unsur Karma dan Darma, pembalasan kepada yang melakukan kejahatan, kejayaan akan dicapai setelah mengalami berbagai-bagai kesusahan dan kesengsaraan.


PERANAN / FUNGSI SASTERA HIKAYAT BERUNSUR HINDU

Sastera Hikayat berunsur Hindu ini memainkan peranan yang tersendiri. Ia berperanan sebagai menghiburkan masyarakat pada ketika itu. Selain itu, ia menjadi tempat untuk mendidik masyarakat dan menjadikannya sebagai  pengajaran. Ini supaya masyarakat mendapat iktibar kepada mereka. Sebagai contoh, mereka yang membuat kejahatan akan mendapat hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka. Manakala mereka yang berbuat baik akan mendapat balasan baik.


1.          Sebagai ‘alat hiburan’.

Sastera Hikayat ini memainkan peranan sebagai alat penghibur kepada masyarakat. Ia mengisahkan tentang kecantikan, kehebatan, keperwiraan watak wira dan wirawati. Cerita ini selalunya berakhir dengan ‘happy ending’. Oleh sebab itu, masyarakat dapat menikmatinya dengan rasa gembira.

2.         Sebagai alat “ escapism”.

Cerita ini mempunyai unsur-unsur kesaktian. Disebabkan kerana cerita-cerita hikayat berunsur Hindu ini berunsur khayalan, dewa dewi, unsur-unsur kesaktian dan ajaib, boleh ‘merehatkan’ atau melupakan seketika segala masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat.

3.         Sebagai ‘ alat pendidikan moral’.

Cerita sastera hikayat selalunya memberi pengajaran kepada masyarakat dan ia kaya dengan unsur-unsur moral. Unsur-unsur moral positif seperti ‘yang baik akan mendapat kemenangan, yang jahat akan menerima balasan setimpal dengan perbuatannya dan menjadi contoh teladan. Ia juga sebagai menyedarkan masyarakat tentang balasan yang akan diterima jika berbuat baik ataupun sebaliknya.

4.         Dapat memberi gambaran kehidupan masyarakat Melayu tradisional terutama di istana-istana raja Melayu kerana kemewahan, kehebatan dan sebagainya.

1 comment: