Monday, 8 August 2011

PERSOALAN & LATAR MASYARAKAT - PANDUAN UNTUK RAJA, PEMBESAR DAN RAKYAT

PANDUAN UNTUK RAJA, PEMBESAR DAN RAKYAT

PENGENALAN
Selepas kejatuhan kerajaan Melayu Melaka di tangan Portugis maka kerajaan Acheh telah muncul sebagai pusat perkembangan kesusasteraan Melayu lama serta agama Islam yang penting pada tahun 1511-1650. Kerajaan Acheh telah berjaya melahirkan ramai para ulamak, pujangga serta penulis Islam yang terkemuka dan menghasilkan karya sastera Melayu lama bercorak Islam yang tinggi mutunya.
Antara sejumlah besar karya yang ditulis oleh para ulamak, pujangga serta penulis Islam itu terdapat sebuah kitab ketatanegaraan yang penting dan pengaruhnya amat besar di alam Melayu. Kitab itu berjudul Tajul al Salatin atau Mahkota Raja Raja yang dikarang pada tahun 1630 dengan matlamat untuk memberi pengajaran tentang aspek pemerintahan negara kepada golongan raja, pembesar, dan rakyat jelata. Di dalam kitab ini penulisnya ada menulis tentang matlamat penulisannya iaitu:
"Kitab ini Maha Mulia menerangkan pada peri perkata segala raja-raja, mentert, hulubalang, rakyat, peri kerajaan dan barang yang bergantung pada segala pekerjaan kerajaan itu dengan ibarat yang ihsan dan rajin yang sempurna"
Sastera Ketatanegaraan

Persoalan sastera ketatanegaraan kaya dengan petunjuk, nasihat, panduan serta pengajaran yang amat berharga kepada raja-raja pada zaman itu, terutama panduan untuk menjalankan pemerintahan negeri. Dimuatkan soal cara hubungan rakyat dengan pemerintah dan tanggungjawab yang dipikul oleh menteri-menteri dan golongan pentadbir. Kitab Tajul al-Salatin pada bab 6 menyebut tentang cara-cara mentadbir dan menjalankan tugas bagi mewujudkan keselamatan, menjamin keamanan. dan keadilan.
Sastera ketatanegaraan juga penuh dengan ilmu pengetahuan yang tinggi dan berfaedah untuk dijadikan sebagai teladan dan panduan bukan sahaja untuk golongan raja, pembesar malahan kepada semua peringkat masyarakat. Terdapat juga aspek-aspek seperti cara mendidilk anak, tentang budi bahasa dan pekerti yang balk, tanggungjawab pemerintah. dan hubungan sesama manusia.
Sastera Undang-undang
Persoalan sastera undang-undang juga menyentuh tentang panduan, teladan, dan nasihat kepada bukan sahaja untuk golongan raja dan pembesar malahan kepada semua peringkat masyarakat, berkaitan dengan:
(a)       Kuasa raja dan pembesar, pembahagian tugas masing-masing dan kaitan dengan sistem pentadbiran negara.
(b)       Undang-undang dalam bentuk kesalahan dan hukuman. Undang-undang jenayah ini termasuklah undang­-undang tempatan, Hindu, dan Islam.
(c)       Undang-undang awam yang berkaitan dengan pembahagian harta dan perkahwinan.
(d)       Adat istiadat yang diamalkan oleh raja dan golongan bangsawan dalam upacara-upacara keistanaan.
Golongan istana akan menjadikan undang undang, peraturan-peraturan, dan adat istiadat dalam sastera undang-­undang sebagai panduan untuk mentadbir negara. Malah undang-undang ini dibentuk untuk menentukan syarat­-syarat bagi kepentingan diraja. Pernah juga orang mengatakan undang-undang Melayu tua ini adalah dasar-dasar dan corak perlakuan yang ditetapkan oleh golongan feudal demi menjaga kepentingan diri mereka sendiri. Manakala rakyat jelata sebagai hamba terpaksa pula menerima beban yang tidak adil. Misalnya Hukum Kanun Melaka dengan jelas menetapkan undang-undang dan peraturan yang dapat dijadikan panduan oleh raja dan pembesar negeri Melaka dari segi kedudukan dan tugas mereka, sebagaimana bahagian pendahuluannya:
Adapun pada segala raja-raja itu, pertama-tama menjadikan bendahara, kedua menjadikan temenggung, ketiga menjadikan penghulu bendahari, keempat menjadikan syahbandar, maka terpeliharalah segala raja-raja itu dengan segala rakyatnya.
Undang-undang Laut Melaka dan Hukum Kanun Melaka juga menjadi panduan kepada rakyat untuk mengamalkan adat istiadat diraja apabila berada di istana. Dengan pengetahuan yang diperoleh daripada Hukum Kanun Melaka, mereka tidak melakukan kesalahan atau perlanggaran adat istiadat semasa berada di istana malah mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Misalnya, dalam fasal yang pertama dengan jelas menyebut tentang adat istiadat diraja dan larangar diraja. Fasal ini juga menerangkan larangan kepada rakyat jelata daripada memakai pakaian kuning, pakaian nipis, memakai keris berhulu emas, dan sebagainya. Di samping itu diterangkan juga empat perkara yang menjadi syarat raja dan hamba raja. Perkara-perkara itu ialah pengampunan, murah hati, sabar, dan berlaku adil.

Manakala Undang undang Laut Melaka pula menjadi panduan kepada keselamatan dalam pelayaran, kuasa­-kuasa nakhoda, dan sebagainya. Undan-undang Laut Melaka merupakan undang-undang laut yang menerangkan tentang tugas-tugas pegawai-pegawai di dalam perahu. Nakhoda adalah umpama raja di laut, jurumudi pula dikatakan bendahara, jurubatu pula sebagai temenggung, dan tukang kanan dan tukang kiri adalah sida-sida. Tetapi semua mereka ini di bawah perintah nakhoda. Undang-undang Laut Melaka juga menjadi panduan kepada anak-anak kapal semasa dalam pelayaran iaitu meliputi segala kelakuan dalam perahu, cara-cara berdagang, pembahagian dagangan, aturan dalam perahu, tugas anak-anak perahu, musim belayar, dan cara menghadapi bahaya. Misalnya melalui fasal yang kedua menghuraikan hukum zina antara orang merdeka, dengan perempuan merdeka, merdeka dengan bujang, merdeka dengan adil. Untuk berbagai-bagai kesalahan ini berbeza pula hukumannya. Orang yang berzina boleh dihukum bunuh atau didenda atau dijadikan hamba oleh nakhoda. Undang-undang Laut Melaka memberi kuasa yang banyak kepada nakhoda.

Seperti juga Undang-undang Kanun Melaka kita dapati ianya ada mengandungi unsur-unsur Islam, contohnya, mualim mestilah sentiasa menunaikan sembahyang dan meminta perlindungan daripada Allah. Di samping itu undang-­undang ini secara tidak langsung menggambarkan tentang kebiasaan raja dan orang-orang besar dalam menjaga kepentingan perniagaan mereka.

No comments:

Post a Comment