Friday, 5 August 2011

HAMZAH AL-FANSURI

HAMZAH AL-FANSURI
Hamzah Fansuri adalah tokoh ugama yang menggegarkan dunia melalui puisi-puisi sufinya. Menurut sastrawan Abdul Hadi MW, Hamzah Fansuri merupakan pencipta "syair Melayu" yang bercirikan puisi empat baris dengan pola rima akhir "a-a-a-a". Bakatnya sebagai sasterawan besar terserlah dalam kemampuan dan kreativitinya merubah bahasa lama menjadi bahasa baru dengan cara memasukkan ratusan kata Arab, istilah konseptual dari Al Quran dan falsafah Islam. Bahasa ini kemudiannya menjadi sebagai bahasa intelektual yang dihormati sebab dapat menampung gagasan baru yang diperlukan pada zaman itu.

Latarbelakang:

Hamzah Fansuri lahir di Barus atau Fansur iaitu sebuah kawasan yang merupakan pusat pendidikan Islam dan melahirkan ramai ulama terkenal.

Dari segi pendidikan, Hamzah mendapat pendidikan di merata tempat seperti Jawa, Tanah Melayu, India, Parsi dan negara-negara Arab.

Sekembalinya ke Barus, beliau menjadi guru agama di Aceh pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah ( 1588-1604).  Salah seorang pelajarnya ialah Syamsuddin Al-Sumaterani. Hamzah berkebolehan dalam bidang pendidikan dan pernah menjadi penasihat kepada Sultan Aceh dan banyak membantu Sultan Aceh dalam hal pentadbiran negeri.

Hamzah bukan sahaja ulama tetapi juga seorang sasterawan.  Beliau menguasai bidang agama, fikah, tasawuf, mantik, sejarah, falsafah, dan menguasai pelbagai bahasa seperti Urdu, Arab dan Parsi.

Dalam bidang sastera, Hamzah terkenal sebagai seorang penyair.  Karangan syairnya banyak mengandungi unsur falsafah yang tinggi.

SUMBANGAN HAMZAH FANSURI DALAM KESUSASTERAAN MELAYU TRADISIONAL:

a.   Memperkenalkan sastera sufi atau mistik:
Hamzah adalah pengasas dan berpegang kuat kepada Aliran Wahdatul Wujud.  Beliau telah mendirikan madrasah dan mempunyai ramai pelajar atau pengikut.

b.   Pengarang pertama menghasilkan karya kesusasteraan bercorak keagamaan:
Hamzah adalah pengarang pertama menghasilkan karya kesusasteraan bercorak keagamaan yang bersifat akhliah atau ilmiah.  Karyanya ditulis dalam Bahasa Melayu.  Kebolehannya dalam pelbagai bahasa membolehkannya menghayati karya-karya dari bahasa lain.

c.   Sumbangan Dalam Bidang Sastera:
Dalam bidang kesusasteraan, Hamzah banyak menghasilkan karya berbentuk prosa dan puisi.  Contoh karya dalam bentuk prosa ialah Asrarul Ariffin, Syarab al Asyikin dan Al-Muhtahi.  Kitab Syarab al Asyikin merupakan kitab tasawuf yang pertama ditulis dalam bahasa Melayu yang membicarakan syariat, tarekat, hakikat, makrifat dan zat tuhan.  Sementara Kitab Asrarul Ariffin merupakan sebuah kitab tasawuf yang membicarakan tentang akidah menurut aliran Wahdatul Wujud. 

Contoh karya Hamzah dalam bentuk puisi yang berunsur agama dan tasawuf ialah Syair Perahu, Syair Dagang, Syair Burung Pingai, dan Syair Sidang Fakir.  Karya-karya syairnya tergolong dalam karya falsafah dan metafizika atau mistik iaitu membicarakan tentang kewujudan Tuhan dan hubungannya di antara manusia dengan tuhannya.

d.  Pengarang pertama mencatat nama pengarang iaitu mencatat nama di rangkap akhir.      
     Teknik ini adalah pengaruh qasidah dan ghazal.

e.  Pengarang pertama memperkenalkan mukadimah dalam karya-karya ilmiah.

Melalui karya-karya tersebut menonjolkan Hamzah Fansuri sebagai penyair yang ulung dalam zamannya di samping merupakan tokoh ulama dalam bidang fikah, tasawuf, mantik dan falsafah.  Berdasarkan pemikiran beliau yang tinggi dalam karya-karyanya beliau ditempatkan sebagai pelopor kesusasteraan Melayu Moden oleh Syed Naquib Al Attas dan bukannya Munsyi Abdullah seperti yang dikemukakan oleh sarjana Barat.

PENGARUH DAN KEISTIMEWAAN KARYA HAMZAH FANSURI

Pengaruh karya-karya yang dihasilkan oleh Hamzah Fansuri terhadap masyarakat pada zamannya amat besar terutama fahaman Wahdatul Wujud yang disebarkannya.  Pengikutnya yang terkenal ialah Syamsuddin Al-Sumaterani.

Selepas kematian Hamzah Fansuri dan Syamsuddin A-Sumaterani, Syeikh Nuruddin Al Raniri telah berjaya mempengaruhi Sultan Aceh ketika itu iaitu Iskandar Thani untuk memerangi fahaman-fahaman Wahdatul Wujud.  Akhirnya kitab-kitab Hamzah Fansuri diperintahkan supaya dibakar.  Pengaruh Hamzah Fansuri dalam bidang syair amat besar kerana puisi ini kemudiannya menjadi puisi yang amat terkenal di Nusantara.

Peranan penting Hamzah al Fansuri dalam sejarah pemikiran dunia Melayu Nusantara bukan saja kerana gagasan tasawufnya, tetapi puisinya yang mencerminkan pergelutan penyair menghadapi realiti zaman dan pengembaraan spiritualnya.

Salah satu karya penting dari Hamzah Fansuri adalah Zinat Al-Wahidin yang ditulis pada akhir abad ke-16 ketika perdebatan sengit tentang fahaman wahdat al-wujud sedang berlangsung dengan tegang di Sumatera. Teks ini diyakini oleh para peneliti sebagai kitab keilmuan pertama yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Hamzah Fansuri juga dikenal sebagai seorang pelopor dan pembaru melalui karya-karya Rubba al Muhakkikina, Syair Perahu, dan Syair Dagang. Kritiknya yang tajam terhadap perilaku politik dan moral raja-raja, para bangsawan, dan orang-orang kaya, menempatkannya sebagai seorang intelektual yang berani pada zamannya. 

No comments:

Post a Comment