Friday, 5 August 2011

CIRI-CIRI SASTERA SEJARAH / HISTORIOGRAFI MELAYU

CIRI-CIRI SASTERA SEJARAH / HISTORIOGRAFI MELAYU

Sastera Sejarah adalah suatu bentuk penulisan yang menggabungkan unsur-unsur penulisan sejarah dengan unsur-unsur penulisan bukan sejarah atau sastera.  Kedua-dua unsur tersebut diolah dengan indah oleh pengarang istana Melayu untuk menggambarkan konsep sejarah zaman silam masyarakat Melayu.  Oleh itu karya sastera sejarah bukanlah karya sastera sepenuhnya sebaliknya mengandungi unsur-unsur peristiwa sejarah yang benar-benar berlaku pada zaman lampau. 
Antara contoh karya sastera sejarah ialah Hikayat Raja Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa, Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, Hikayat Acheh, Hikayat Kelantan, Misa Melayu, Hikayat Johor, Salasilah Melayu Bugis , Tuhfat Al Nafis dan lain-lain.

CIRI-CIRI SASTERA SEJARAH
a. Dari segi tujuan penulisan:
Karya sastera sejarah lahir di istana dan dikarang oleh penulis golongan istana yang mempunyai daya kreatif yang tinggi untuk merakamkan kebesaran, ketinggian dan kegemilangan pemerintahan Kesultanan Melayu dan Negara kota.  Biasanya karya sastera sejarah dihasilkan atas perintah raja atau pemerintah. Karya sastera sejarah juga berfungsi sebagai wadah nasihat, pengajaran, panduan dan petunjuk kepada golongan pemerintah dan pembesar.

b. Dari segi corak penceritaan:
Karya sastera sejarah mengandungi dua corak penceritaan iaitu peristiwa sebenar atau fakta sejarah dan unsur atau peristiwa bukan sejarah seperti unsur fantasi, mitos dan lagenda.
Peristiwa-peristiwa sejarah menceritakan sejarah Negara kota merangkumi peristiwa pembukaan negeri, penaklukan, hubungan diplomatik, kegemilangan dan kejatuhan sesebuah Negara kota.  Watak-watak pemerintah, pembesar dan rakyat yang terlibat dalam karya merupakan watak yang benar-benar wujud dalam sejarah sebenar.
Gambaran masyarakat Melayu dari segi adat istiadat, ekonomi, politik dan struktur pemerintahan dalam karya sastera sejarah adalah merupakan peristiwa sejarah sebenar yang berlaku pada zaman lampau.
Bagaimanapun peristiwa-peristiwa sejarah tersebut bercampur aduk antara fakta sejarah dan bukan sejarah seperti mitos dan lagenda.  Unsur mitos dimasukkan oleh pengarang dalam karya sastera sejarah untuk menunjukkan keistimewaan golongan pemerintah dan juga untuk tujuan menyindir atau mengkritik perlakuan buruk golongan pemerintah.
Antara unsur mitos dalam karya sastera sejarah ialah mitos asal-usul raja, mitos pembukaan negeri, mitos kedatangan Islam dan mitos alegori.
Asal-usul raja Melayu dikatakan berasal daripada keturunan Iskandar Zulkarnain seorang pahlawan terkenal, gagah dan berani.
Pembukaan sesebuah negeri juga dikaitkan dengan mitos.  Misalnya Melaka dikaitkan dengan mitos peristiwa pelanduk putih mengalahkan anjing perburuan. Semundera dikaitkan dengan peristiwa Merah Silu menemui semut sebesar kucing. Manakala SIngapura dikaitkan dengan mitos penemuan seekor singa yang tangkas oleh Seri Teri Buana.
Kedatangan Islam ke alam Melayu juga dikaitkan dengan mitos iaitu melalui mimpi pemerintah.  Misalnya kedatangan Islam ke Pasai dikatakan melalui mimpi Merah Silu yang bermimpi bertemu Rasulullah.  Begitu juga kedatangan Islam ke Melaka adalah melalui mimpi Raja Kecil Besar.
Mitos asal usul raja, mitos pembukaan negeri dan mitos kedatangan Islam bertujuan mengangkat kedudukan dan martabat golongan pemerintah.  Manakala mitos alegori bertujuan menyindir atau mengkritik perlakuan buruk golongan pemerintah.  Dua peristiwa mitos alegori yang terdapat dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ialah peristiwa Singapura dilanggar todak dan peristiwa peminangan Puteri Gunung Ledang.
Peristiwa Singapura dilanggar todak bertujuan mengkritik kezaliman yang telah dilakukan oleh Paduka Seri Maharaja yang membunuh Tuan Jana Khatib akibat cemburu menunjukkan ilmu khayalillah di hadapan permaisuri.
Manakala Peristiwa Peminangan Puteri Ledang mengkritik perlakuan buruk Sultan Mahmud Syah.

c.  Dari segi pertarikhan:
Karya-karya sastera sejarah tidak mementingkan tarikh. Segala peristiwa yang diceritakan tidak disertakan dengan tarikh bilakah ianya berlaku.  Ia berbeza dengan karya sejarah yang mementingkan fakta dan tarikh.

 TIADA NAMA PENGARANG
Sejarawan- sejarawan Melayu pada masa lampau biasanya tidak akan menulis nama mereka sebagai pengarang sesebuah karya yang telah mereka menghasilkan . Hal ini adalah kerana biasanya sejarawan Melayu pada masa itu bersikap rendah diri di hadapan Sultan.[20]Oleh sebab itu mereka hanya menggunakan gantinama fakir menganti nama mereka. Hal ini dapat dilihat dalam sulalatus salatin dimana Tun Seri Lanang mengunakan perkataan fakir, dalam Misa Melayu dimana Raja Chulan juga telah mengunakan perkataan fakir. Contoh ungkapan yang di gunakan oleh Tun Seri Lanang dalam Sulalatus adalah seperti berikut:
Wa ba’adahu adapun kemudian dari itu telah berkata fakir
Yang insaf akan lemah keadaan dirinya, dan singkat pengetahuan ilmunya…
Setelah fakir mendengar demikian, jadi beratlah atas anggota fakir allazi murakkabun
‘ala jahlihi’[21]
Selain itu, Sejarawan Melayu pada masa itu juga telah mengamalkan tradisi penyalinan sebuah karya . Jadi hal ini telah menyebabkan berlakunya beberapa kesan seperti terdapat banyak versi dalam sesuatu karya sejarah dan berlaku percanggahan fakta, berat sebelah dan penyalinan sesebuah karya menambah dan mengurangkan cerita mengikut kepentingan mereka.

TIADA TARIKH
Ciri historiografi Melayu lain ialah sejarawan Melayu pada masa itu tidak menggunakan tarikh dalam karya mereka untuk memberitahu kepada pembaca bilamasa sesuatu peristiwa itu berlaku dan bila sebuah karya itu dihasilkan.[22]
Misalnya pengarang Sulalatus Salatin gemar menggunakan ungkapan “selang beberapa hari”, “tidak berapa lamanya”, “setelah empat puluh dua tahun umur Sultan Muzaffar Syah”[23]. Maka, ciri ini merupakan satu ciri historigrafi Melayu kerana kita dapat melihat ciri ini dalam karya sejarah lain seperti Misa Melayu, Tuhfat al-Nafis dan sebagainya.

BERSIKAP BIAS
Ciri bersikap bias oleh pengarang atau penyalin terhadap sesesuatu peristiwa juga merupakan satu ciri historigrafi Melayu. Hai ini berlaku dalam historigrafi Melayu kerana kebanyakan karya hanya ditulis oleh seseorang sejarawan mengikut kepentingan mereka dan Sultan mereka. Jadi mereka terpaksa bersikap kecenderungan dalam menghasilkan idea sejarah.[24] Karya -karya yang dihasilkan ataupun di salinkan lebih memaparkan tentang bangsa masing-masing. Misalnya dalam Sulalatus Salatin, Tun seri Lanang bersikap berat sebelah dari segi salasilah keturunan raja-raja Melaka, adat istiadat, perisitiwa-peristiwa yang melihat semua jenis tokoh Melaka seperti Tun Perak, Hang Tuah dan sebagainya. Hal ini adalah kerana sebagai Bendahara, Tun Seri Lanang terpaksa memenuhi titah perintah daripada Sultan dan hal ini menyebabkan beliau sukar bebas daripada bersikap bias kerana takut dimurka oleh Sultan. Bukan sahaja Sulalatus Salatin tetapi karya sejarah lain seperti Misa Melayu, Hikayat raja- raja Pasai dan sebagai juga mempunyai ciri ini.

UNSUR HINDU-BUDDHA
Selain daripada ciri-ciri yang di bincangkan di atas, unsur Hindu-Buddha dalam karya Sejarah Melayu juga adalah salah satu ciri historiografi Melayu. Hal ini adalah kerana unsur hindu-buddha masih lagi tebal dalam masyarakat Melayu pada masa itu walaupun penulisan historiografi Melayu bermula selepas penyebaran agama Islam.[25]
Jadi, unsur Hindu Buddha ini telah menjadi satu ciri dalam historiografi Melayu seperti Sulalutin Salatin, Hikayat raja-raja Pasai, Misa Melayu dan lain-lain lagi. Misalnya kita dapat lihat unsur ini dalam kegunaan nama-mana yang berunsur hindu seperti gunung Mahameru, dan juga beberepa peristiwa yang bercampur mitos yang diceritakan karya-karya sejarah lama berbaur kehinduan. 

No comments:

Post a Comment