Friday, 5 August 2011

Cerita Penglipurlara

CERITA PENGLIPUR LARA

 Definisi:

Menurut Dr. Ismail Hamid dalam bukunya “Perkembangan Kesusasteraan Melayu Lama”, ‘Penglipur’ membawa maksud penghibur, manakala ‘Lara’ pula bermaksud duka atau kesedihan hati. Daripada cantuman dua kata ‘Penglipur’ dan ‘Lara’ membawa pengertian cerita yang menghiburkan orang dalam kesedihan atau dukacita.

Cerita Penglipur lara dikenali juga sebagai ‘folklore’. R.O Winstedt menamakan penglipur Lara sebagai roman rakyat (flok ramances). Cerita Penglipur Lara ialah cerita-cerita roman yang mengandungi unsur “adventure”. Biasanya cerita berlegar di sekitar golongan istana atau golongan-golongan putera-puteri, cerita raja dengan segala gambaran keindahan, kemewahan, kesaktian serta kejadian-kejadian yang luar biasa (“supernatural”).

Cerita Penglipur Lara terkenal di kalangan masyarakat Melayu kerana cerita-cerita ini mempunyai keunikan dan keistemewaan yang tersendiri. Keunikan itu jelas dilihat dari segi ceritanya, penutur atau tukang cerita dan cara persembahan cerita tersebut.

Dalam masyarakat Minangkabau, cerita Penglipur Lara dikenali sebagai Kaba. Mengikut kajian tukang-tukang cerita atau penutur cerita Penglipur Lara ini terdapat dua golongan iaitu Tukang cerita “profesional” dan “amatur”. Cara penyampaian menggunakan “kepakaran” mereka tersendiri. Contohnya dengan gaya dan lagunya tersendiri serta diserikan lagi persembahan menggunakan alat-alat muzik yang serdahana  seperti rebab, biola dan sebagainya. Selain itu ada juga tukang cerita yang menyampaikan cerita dalam bentuk prosa lirik.


CONTOH KARYA CERITA PENGLIPUR LARA

o Hikayat Raja Donan
o Hikayat Anggun Cik Tunggal
o Hikayat Raja Muda
o Hikayat Malim Deman
o Hikayat Awang Sulung Merah Muda
o Hikayat Malim Dewa


CIRI-CIRI CERITA PENGLIPUR LARA

  a.      Dari Segi Tema 
 Dalam keseluruhan cerita Penglipur lara ini bertemakan percintaan antara wira dengan wirawati.  Percintaan mereka ini dikaitkan dengan pengembaraan sang wira dalam mencari pasangan mereka (wirawati) disebabkan oleh hal-hal yang tertentu. Dalam masa pengembaraan inilah pelbagai persoalan yang timbul untuk mengembangkan lagi suasana sesebuah cerita Penglipur lara dan dalam masa yang sama menarik minat para pendengar untuk mengetahui kisah selanjutnya. Persoalan yang biasa diutarakan ialah mengenai persoalan peperangan, kesaktian, kehebatan, kemewahan dan kegagahan ditonjolkan dalam cerita Penglipur lara.

Halangan dan rintangan yang dihadapi oleh sang wira akan dapat diatasi dengan mudah dengan pertolongan benda-benda sakti atau senjata sakti seperti yang berlaku di dalam cerita-cerita Penglipur lara. Selain daripada itu juga para wira sendiri juga memiliki kesaktian dan kegagahan mereka tersendiri untuk mengatasi segala rintangan serta halangan untuk berjaya dan mencapai hajat wira.  Penyelesaian cerita-cerita Penglipur lara biasanya mereka hidup bahagia bersama wirawati (happy ending).

b.    Dari Segi Watak Dan Perwatakan
Watak dan perwatakan dalam cerita Penglipur lara terbahagi kepada tiga golongan iaitu :

I)   Watak Utama (Protagonis)
 Watak utama dalam cerita penglipur Lara terdiri dari kalangan putera puteri raja. Watak utama diwarnakan dengan warna putih iaitu watak baik dan mempunyai segala kelebihan, keistemewaan dan keberanian yang tidak terdapat di kalangan kebanyakan orang. Peranan watak utama  iaitu wira akan mengembara dengan tujuan yang tertentu. Di sini jelas diperlihatkan wira akan menghadapi berbagai-bagai halangan, rintangan, kesusahan dan sebagainya, tetapi semuanya akan berakhir dengan kejayaan di atas kepintaran, kebijaksanaan dan kegagahan yang mereka miliki.

Ii)   Watak Pembantu
 Biasanya watak ini terdiri dari kalangan rakyat biasa yang menjadi pembantu, pengasuh, pengiring pada watak utama samada pada watak utama sama ada pada watak wira atau watak wirawati seperti nenek kebayan, Kembang Cina dan Bujang Selamat yang menjadi pembantu dalam tindak – tanduk watak  utama.

Iii)  Watak Jahat (Antagonis)
 Gambaran mengenai watak jahat ini terdiri dari watak yang menjadi penghalang kepada watak utama dalam mencapai sesuatu tujuan dan sering menimbulkan masalah kepada watak utama.  Watak ini dianggap sebagai musuh jahat kerana sering menaruh niat buruk , sering menimbulkan pergaduhan dan peperangan.

c.    Dari Segi Struktur Isi Cerita / Plot

Plot atau struktur isi cerita Cerita Penglipur Lara terbahagi kepada tiga bahagian iaitu bahagian awal atau permulaan, bahagian perkembangan atau pengembaraan dan bahagian akhir atau penyelesaian cerita.

 i)   Bahagian awal:
 Pada bahagian awal diceritakan tentang kisah sebelum pengembaraan wira.  Bahagian awal dimulakan dengan latar belakang kelahiran wira, kehidupannya sewaktu kecil disertakan dngan latar belakang kehidupan keluarga wira. Dalam bahagian ini juga diceritakan tentang kejadian yang luar biasa  berlaku semasa wira dilahirkan seperti kelahiran wira yang disertai dengan hujan, ribut, kilat, petir, serta suasana alam yang luar biasa.  Kadang-kadang digambarkan kelahiran wira juga akan disertai dengan benda atau senjata yang ajaib penuh kesaktian.

Ii)   Bahagian Pengembaraan:
Pada bahagian perkembangan atau pengembaraan diterangkan sebab-sebab wira keluar dari istana untuk mengembara dengan tujuan-tujuan yang tertentu.  Dalam pengembaraan tersebut wira akan menghadapi pelbagai halangan, rintangan dan penderitaan yang menguji kesabaran atau ketabahan dalam mengharunginya.  Peperangan juga berlaku di antara watak wira dengan watak jahat yang cuba menghalang hasrat wira mencapai tujuan pengembaraannya. Di samping itu disisipkan juga unsur-unsur percintaan dan perkahwinan wira dengan puteri-puteri raja negeri yang disinggahi atau dikalahkan.


Iii)   Bahagian Akhir:
Setelah berhempas pulas untuk mencapai apa yang dihajati, akhirnya wira pun mencapai kejayaan. Sebaik saja hajat dan tujuan yang diharapkan telah berjaya diperolehi wira pun kembali semula ke istana, membawa isteri atau isteri-isterinya dan hidup aman bahagia dengan segala kebesaran dan kemegahan memerintah kerajaan yang besar.


d.    Dari Segi Pusat Cerita
Cerita berpusat di kalangan putera-puteri raja.  Perkembangan cerita-cerita penglipur lara berkisar di sekitar istana yang mengisahkan tentang wira dan wirawati dari kalangan putera-puteri raja. Latar cerita meliputi dunia dan alam kayangan atau fantasi.  Alam kayangan menjadi tempat tinggal dewa-dewi, mambang dan jin.

Dalam cerita-cerita penglipur lara, keturunan raja-raja khasnya wira dan wirawati dikaitkan asal usulnya dari keturunan dewa-dewi dari kayangan.  Malah sering ditemui dalam cerita Penglipur lara di mana wira sentiasa mendapat bantuan atau pertolongan dewa-dewi setiap kali menghadapi saat genting atau musuh.


e.     Bentuk Prosa Dengan Selingan Puisi 
 Keseluruhan cerita Penglipur lara disampaikan dalam bentuk prosa iaitu karangan yang tidak berangkap, tetapi jika berhadapan dengan Penglipur lara itu sendiri, ia didengar seperti puisi kerana pencerita akan melagukan agar sedap di dengar serta menarik minat pendengar.


FUNGSI CERITA PENGLIPUR LARA 

a.        Sebagai alat hiburan dan escapism / pelarian

Cerita-cerita Penglipur Lara memainkan peranan penting sebagai ‘alat’ hiburan dan ‘pelarian’ bagi masyarakat Melayu tradisional, khasnya di kalangan rakyat jelata kerana isi ceritanya dipenuhi dengan peristiwa fantasi, luar biasa, penuh gambaran kemewahan, kebesaran dan keindahan hidup golongan putera-puteri raja yang dapat memberi suatu kepuasan yang menghiburkan. Isi cerita Penglipur lara juga dijadikan sebagai suatu ‘perlarian’ bagi golongan rakyat jelata yang miskin dan hidup dikelilingi penderitaan kerana isi cerita Penglipur lara amat menonjolkan unsur-unsur kemewahan yang indah.  
Dengan mendengar cerita yang indah dan hebat khalayak dapat melarikan diri seketika daripada kenyataan hidup atau masalah yang membelenggui mereka.

Lebih menghiburkan ialah melalui gaya penyampaian tukang-tukang cerita yang unik dan tersendiri dalam menyampaikan cerita, yang diselang-selikan dengan ungkapan-ungkapan yang indah, disampaikan dengan iringan muzik dengan pelbagai lagu dan rentak sehingga dapat menimbulkan suasana nyaman, indah, gembira yang menyeronokkan dan menghiburkan khalayak atau pendengar.


b.        Sebagai alat pengajaran dan pendidikan moral

 Cerita-cerita Penglipur Lara kaya dengan unsur-unsur moral dan etika yang dapat dicontohi oleh masyarakat.   Nilai-nilai moral dan etika seperti taat kepada pemerintah, sifat berdikari menentukan untung nasib melalui pengembaraan, semangat berani dan tidak gentar dalam menegakkan kebenaran jelas tergambar pada watak-watak yang boleh dijadikan panduan dan iktibar.

I)  Sifat Hormat Kepada Ibu Bapa Dan Orang Tua.
 Wira dan wirawati tidak pernah menentang kehendak ayahanda bonda, walaupun adakalanya perintah tersebut begitu sukar dan membahayakan, malah mereka akan meminta izin terlebih dahulu daripada ayahanda bonda mereka sebelum keluar mengembara.

Ii)  Sifat Tanggungjawab Pemimpin (Raja)
Dalam cerita Penglipur lara ini jelas tergambar tentang raja yang mempunyai perasaan penuh tanggungjawab terhadap keluarga dan negerinya.

Iii) Sifat-Sifat Patriotik Dan Cintakan Tanah Air
Sifat ini jelas tergambar dalam episod peperangan. Raja, pembesar mahupun rakyat jelata masing-masing tidak akan mudah menyerah kalah, berganding bahu mempertahankan negeri mereka daripada serangan luar dan sanggup mengorbankan nyawa mereka dengan berlawan bermati-matian hingga ke titisan darah yang terakhir.

Iv) Hubungan Harmoni Dan Mesra Antara Golongan Raja Dan Rakyat
 Kemesraan hubungan antara golongan istana dengan rakyat jelata jelas tergambar ketika upacara tertentu diadakan di istana, misalnya ketika malis perkahwinan dan kenduri kendara di istana. Semua golongan rakyat datang beramai-ramai dari berbagai lapisan masyarakat, kecil besar, tua dan muda. Ini jelas seperti yang tergambar melalui petikan puisi di bawah;

“Yang capik datang bertongkat,
Yang buta datang berpimpin,
Yang pekak datang bertanya,
`       Yang kurap mengekor angin.” 

V) Berbuat Baik Kepada Ibu Bapa Dan Kepada Mereka Yang Tidak Bernasib Baik
Sifat ini jelas nyata terdapat dalam watak Si Kembang Cina atau Bujang Selamat. Selain itu kedua-dua watak ini melambangkan kesetiaan dan watak-watak “pekerja” yang bekerja dengan penuh dedikasi dan memberi sepenuh komitmen terhadap tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Iv) Sifat Berdikari Dan Mencari Untung
 Sifat ini selalu saja terdapat dalam watak wira dan wirawati di mana mereka akan berdikari sehingga mereka berjaya mencapai apa yang dihajati. Selain itu wira dan wirawati sendiri juga pandai mencari untung dalam apa jua yang mereka lakukan.
  

c.         Sebagai Pengekalan Norma Dan Sistem Etika Masyarakat

Unsur moral dan etika yang terkandung dalam cerita-cerita penglipur lara dapat diwariskan kepada generasi terkemudian

d.        Sebagai Alat Gambaran Masyarakat

• Cerita-cerita menggambarkan corak kehidupan masyarakat Melayu. Misalnya dari segi sistem pemerintahan yang bersifat feudal itu

• Gambaran adap istiadat yang diamalkan di istana

• Sistem sosial yang diamalkan baik dari segi pendidikan, kepercayaan, amalan dan seb
againya.

2 comments:

  1. Terima kasih tuan atas entry ini. boleh sekiranya saya minta sumber rujukan, kerana saya sedang membuat rujukan bagi kesusasteraan tradisional (prosa) dari Hikayat Inderaputera. Saya masih keliru tentang status hikayat ini, sama ada sastera hikayat penglipur lara atau mitos. Terima kasih. :)

    ReplyDelete
  2. Terima kasih tuan atas entri ini. boleh sekiranya saya minta sumber rujukan, kerana saya sedang membuat tugasan sastera lian

    ReplyDelete