SASTERA RAKYAT / SASTERA LISAN
Sastera rakyat adalah hasil-hasil sastera Melayu lama yang bercorak lisan, yang dikenali juga sebagai Folklore. Ia disampaikan secara lisan atau dipertuturkan dan diperturunkan ( diwarisi ) dari satu generasi ke generasi berikutnya dan menjadi milik bersama masyarakat Melayu. Sastera rakyat hidup dan berkembang dalam masyarakat Melayu secara lisan tanpa diketahui bila ia dicipta dan siapa penciptanya.
CIRI-CIRI SASTERA RAKYAT
a. Dari segi penyebaran
Salah satu sifat sastera rakyat yang utama terletak pada cara penyebarannya. Pada lazimnya sastera rakyat disebarkan atau disampaikan melalui pertuturan atau secara lisan. Ia dituturkan secara individu kepada seorang indivdu yang lain atau sekumpulan individu yang lain. Misalnya seorang datuk akan menuturkan suatu cerita kepada seorang bapa, seterusnya dari seorang bapa dituturkan kepada seorang anak atau cucu. Ini bermakna hasil-hasil sastera rakyat tersebut diperturunkan atau diwarisi dari satu generasi ke generasi berikutnya secara lisan.
b. Dari segi penyampaian:
astera Rakyat disampaikan secara lisan oleh seorang yang profesional, yang kerjanya "bercerita" kepada anggota masyarakat yang lain. Dalam masyarakat melayu, profesion ini dikenali sebagi "tok cerita" atau ‘tukang cerita’ ataupun "pawang", yang telah menghafal cerita-cerita tertentu daripada seorang guru, untuk menyampaikan cerita dengan cara yang menarik kepada orang kampung, bagi menghiburkan orang kampung yang berkenaan.
Di antara tukang-tukang cerita yang terkenal ialah Mir Hassan, Pawang Ana, Tok Selampit, Awang Batil dan sebagainya.
Penyampaian cerita sering diiringi dengan alat muzik tradisional seperti batil, rebab dan lain-lain.
c. Dari segi penciptaan:
Sastera Rakyat merupakan hasil karya yang menjadi milik bersama masyarakat iaitu sastera hak masyarakat dan bukannya milik individu tertentu. Oleh itu tidak diketahui siapa penciptanya dan bila ia dicipta atau dihasilkan.
Merupakan kepunyaan bersama Soal hak cipta tidak wujud pada sastera rakyat. Tiada siapa-siapa yang akan mengaku bahawa dialah pengarang bagi cerita rakyat yang tertentu. Bagi tok cerita ataupun tukang cerita yang kerjanya bercerita, beliau juga tidak mengakui dirinya sebagai pengarang cerita berkenaan, melainkan meletakkan kepengarangan cerita berkenaan kepada seorang individu yang anonmious, yakni Yang Empunya Cerita.
d. Dari segi fungsi:
Sastera Rakyat mempunyai fungsi dan peranan tertentu dalam masyarakat. Sastera Rakyat berfungsi sebagai alat hiburan, alat pengajaran dan pendidikan, alat protes sosial atau kritikan dan sebagainya.
e. Dari segi Versi
Sastera Rakyat terdapat dalam pelbagai versi dan berlaku tokok tambah kerana penyebarannya yang dilakukan secara lisan. Biasanya berlaku beberapa perubahan atau penyesuaian terhadap cerita asal mengikut penyesuaian setempat menyebabkan lahir pelbagai versi. Namun perbezaan itu hanya pada aspek luaran sahaja sedangkan bentuk dasarnya adalah sama dan dapat bertahan.
f. Sastera Rakyat Adalah Cerminan Hidup Masyarakat
Sastera Rakyat adalah cerminan hidup masyarakat Melayu tradisional. Sastera Rakyat mengandungi ciri-ciri budaya asal masyarakat yang melahirkannya seperti kesenian, kepercayaan dan adat resam. . Hal ini berlaku kerana sastera rakyat merupakan satu pernyataan atau ekspresi budaya masyarakat yang melahirkannya. Sastera Rakyat merupakan media untuk menyalurkan tradisi itu kepada generasi berikutnya. Dengan maksud agar tradisi itu dapat dikekalkan dan diwarisi oleh generasi akan datang.
g. Sering memiliki unsur irama
Cerita penglipur lara yang disampaikan oleh pawang ataupun tok cerita sentiasa mengandungi unsur irama yang menarik. Pengaturan ini adalah supaya cerita itu lebih menghibur bersamping untuk memudahkan tok cerita berhafal.
JENIS-JENIS SASTERA RAKYAT
Sastera rakyat merupakan satu dunia yang luas, ia merangkumi segala pengucapan indah-indah yang lahir di kalangan, dan tidak saja merujuk kepada cerita rakyat. Secara kasarnya sastera rakyat boleh dibahagikan kepada 2 kategori yang besar, iaitu sastera rakyat naratif dan sastera rakyat bukan naratif.
Sastera rakyat naratif merujuk kepada sastera rakyat yang menghuraikan suatu peristiwa. Sub-genre sastera naratif termasuklah mitos, legenda, dan juga cerita rakyat
Mitos merupakan cerita yang bersifat dongeng yang berfungsi untuk menerangkan asal usul kejadian tertentu, termasuklah kejadian alam, manusia, binatang, dan petempatan. Pada mulanya, mitos merupakan satu bentuk kepercayaan yang dicipta untuk memenuhi keinginan manusia untuk mengetahui asal usul sesuatu kejadian.
Cerita Mitos biasanya dikaitkan dengan sesuatu kepercayaan seperti animisma, Hindu dan Islam. Masyarakat Melayu meletakkan cerita-cerita Mitos sebagai yang benar-benar berlaku dan menjadikannya sebahagian dari sistem kepercayaan yang tidak boleh dipersendakan. Pada tanggapan mereka sesiapa yang tidak mempercayai cerita mitos akan menerima balasan buruk.
LEGENDA
Legenda pula ialah cerita yang mengisahkan sejarah satu-satu tempat atau peristiwa zaman zilam. Lagenda mengisahkan tentang seorang tokoh manusia yang memiliki keistimewaan seperti keberanian dan kehandalan luar biasa. Setiap penempatan yang bersejarah lama mempunyai legendanya sendiri. Misalnya di Langkawi, kita akan menjumpai legenda Mahsuri dan di Melaka kita dapat menjumpai legenda Hang Tuah, manakala di Kelantan ditemui lagenda Puteri Saadong.
Lagenda adalah cerita yang dipercayai benar-benar berlaku oleh masyarakat pendokong berdasarkan latar tempat atau tanda-tanda alam sebagai bukti kebenarannya. Kebiasaanya cerita lagenda dimasukkan unsur-unsur mitos yang bertujuan mengagongkan seseorang tokoh. Namun demikian biasanya masih dapat dibuktikan dengan kewujudan tanda alam.
Cerita rakyat merupakan satu bentuk cerita yang popular di kalangan rakyat, yang menjadi hiburan penting di kalangan masyarakat berkenaan. Dalam masyarakat Melayu, terdapat pelbagi jenis cerita rakyat seperti cerita binatang, cerita jenaka, cerita penglipur lara dan cerita teladan / pengalaman.
a. CERITA BINATANG
Cerita Binatang adalah cerita rakyat yang menggunakan binatang sebagai watak utama. Watak binatang tersebut diberikan sifat-sifat manusia seperti boleh berkata-kata, berfikir dan bertindak seperti manusia.
Cerita Binatang terbahagi kepada tiga jenis iaitu cerita Binatang Asal Usul, Cerita Binatang Fable (Pengajaran) dan Cerita Binatang Epik ( Beast Epic).
Cerita Binatang Asal Usul mengisahkan asal usul kejadian binatang misalnya Cerita Mengapa Harimau Mengaum, Mengapa Gagak Berbulu Hitam, Mengapa Ular Sawa Hilang Bisa, Mengapa Puyuh Tidak Berekor dan sebagainya.
Cerita Binatang Fable berunsurkan pengajaran, misalnya Cerita Anjing Dengan Bayang-bayang, Cerita Kera Dengan Kura-kura, Cerita Bangau Dengan Ketam dan sebagainya.
Manakala Cerita Epik Binatang adalah seperti Hikayat Pelanduk Jenaka dan Hikayat Sang Kancil
b. CERITA JENAKA
Cerita Jenaka adalah cerita rakyat yang mengandungi unsur-unsur humor / lucu / jenaka yang boleh menimbulkan kegembiraan atau menggeletek hati khalayak. Watak-watak Cerita Jenaka diberikan sifat dan peranan yang melucukan.
Cerita Jenaka terbahagi kepada 2 jenis iaitu Cerita Jenaka Tempatan dan Cerita Jenaka Pengaruh Asing. Contoh Cerita Jenaka Tempatan ialah Cerita Pak Pandir, Cerita Pak Kaduk, Cerita Lebai Malang, Cerita Pak Belalang dan Cerita Si Luncai.
Manakala Cerita Jenaka Pengaruh Asing terdiri daripada Cerita Mat Jenin ( Hindu ) dan Cerita Musang Berjanggut dan Cerita Abu Nawas. ( Arab/Parsi/Islam )
Watak-watak dalam Cerita Jenaka Tempatan terbahagi kepada 3 golongan iaitu Watak Bodoh-Pintar seperti Pak Pandir, Watak Bodoh-Sial seperti Pak Kaduk dan Lebai Malang dan Watak Pintar-Lucu seperti Pak Belalang dan Si Luncai.
c. CERITA PENGLIPUR LARA
Cerita Penglipur Lara adalah cerita rakyat yang paling popular. Cerita Penglipur Lara merupakan cerita roman yang mengandungi unsur-unsur percintaan putera-puteri Raja diikuti dengan pengembaraan, peperangan dan berakhir dengan kegembiraan ( Happy-Ending ).
Cerita Penglipur Lara disampaikan oleh tukang-tukang cerita yang biasanya diiringi dengan alat-alat bunyian tradisional seperti rebab, belanga, selampit dan sebagainya.
Penceritaannya diselangselikan dengan puisi Melayu Tradisional dan bahasa berirama ( runs ).
Di antara contoh Cerita Penglipur Lara ialah Hikayat Malim Dewa, Hikayat Malim Deman, Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Anggun Cik Tunggal dan sebagainya.
d. CERITA TELADAN
Cerita teladan ialah sejenis cerita rakyat dalam kesusasteraan rakyat / sastera lisan. Cerita yang mengisahkan tentang golongan rakyat biasa yang mengetengahkan gagasan bahawa watak yang baik itu akhirnya akan mendapat pembelaan, sebaliknya watak yang jahat akan mendapat pembalasan yang setimpal dengan perbuatan yang dilakukan oleh mereka.
Cerita teladan penuh dengan unsur didaktik dan pendidikan moral, yang diterapkan melalui nilai-nilai murni.
Antara contoh Cerita Teladan ialah Cerita Bawang Putih Bawang Merah, Batu Belah Batu Bertangkup dan Cerita Si Tenggang.
SASTERA RAKYAT BUKAN NARATIF
Sastera rakyat bukan naratif merujuk kepada pengucapan yang indah-indah yang tidak mengandungi penceritaan suatu peristiwa. Bentuk sastera ini sebenarnya wujud di sekeliling kita, tetapi umumnya orang ramai tidak menyedari kewujudannya.
Peribahasa adalah bahasa kias yang digunakan untuk mengindahkan penuturan dalam kehidupan seharian. Perkara yang termasuk dalam peribahasa termasuk perumpamaan, simpulan bahasa, pepatah, perbilangan dan kiasan.
Teka-teki adalah sastera lisan yang popular dalam kalangan kanak-kanak. Ia adalah soalan yang disampaikan dengan berirama dan penuh kiasan. Fungsinya adalah untuk permainan.
a. SYAIR
Puisi Melayu Tradisional yang berbentuk naratif didominasikan oleh syair. Syair berasal daripada perkataan Arab “syir” yang bermaksud puisi.
Syair dianggap milik bersama oleh masyarakat Melayu lama. Hamzah Fansuri telah menghasilkan syair yang lebih bersifat Melayu dan menyebabkan syair Melayu sudah menyimpang daripada bentuk syair Arab.
Syair Melayu dihasilkan berangkap-rangkap. Setiap rangkap terdiri daripada empat baris dan rima akhirnya adalah a-a-a-a. Setiap baris mengandungi purata 4 – 5 patah perkataan dengan 8 – 12 suku kata.
Setiap rangkap syair tidak dapat berdiri sendiri kerana memerlukan lebih daripada satu rangkap bagi melengkapkan sesuatu idea.
Syair dapat dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu syair agama, syair romantis, syair sejarah dan syair kiasan.
PUISI MELAYU TRADISIONAL BUKAN NARATIF
Puisi Melayu Tradisional terdiri daripada Pantun, Gurindam, Seloka, Teromba, Talibun, Mantera, Peribahasa Berangkap, Nazam, Ruba-i, Masnawi, Qit’ah, Ghazal, Barzanji, Rejang, Endoi, Zikir, Selawat, Hadrah dan Dabus.
Pantun adalah puisi Melayu asli atau jati. Pantun tergolong sebagai puisi Melayu tradisional berbentuk bukan naratif. Pantun terdiri daripada empat baris ayat. Setiap baris ayat mempunyai antara tiga hingga lima patah perkataan. Setiap rangkap terdiri daripada sampiran atau pembayang maksud dan maksud. Dua baris awal merupakan pembayang maksud atau sampiran, manakala dua baris akhir merupakan maksud. Rima akhir pantun adalah a-b-a-b.
Pantun berfungsi sebagai alat pendidikan, menyampaikan kerinduan dan kasih sayang, menyindir, mengenang budi, menyampaikan buah fikiran dan menghibur.
b. GURINDAM
Gurindam tergolong sebagai puisi Melayu tradisional bukan naratif terikat. Gurindam terdiri daripada dua baris serangkap, rima akhirnya sama (a-a), baris pertama disebut syarat dan baris kedua disebut jawab.
Gurindam berperanan sebagai alat untuk menyampaikan pendidikan. Unsur-unsur pendidikan yang ditekankan ialah iman dan moral yang baik
c. SELOKA
Seloka adalah sejenis puisi Melayu bebas, tidak tetap rangkapnya, tidak tetap jumlah baris serangkap, tidak tetap jumlah perkataan sebaris dan sama ada berima atau tidak. Isinya membawa maksud sindiran, ejekan, bergurau atau berjenaka.
d. TEROMBA
Teromba ialah ungkapan-ungkapan puitis yang mengisahkan tentang adat. Teromba digunakan untuk memberi panduan hidup kepada masyarakat yang mengamalkan Adat Perpatih. Teromba merupakan sejenis puisi bebas. Di dalamnya mungkin disisipkan dengan gurindam, pantun, peribahasa berangkap dan sebagainya.
Dari sudut bentuk dan struktur, teromba dapat dibahagikan mengikut jumlah baris dalam serangkap dan hubungannya dengan bentuk-bentuk genre yang lain.
e. TALIBUN
Talibun adalah sejenis puisi bebas. Dalam seuntai talibun mungkin disisipkan rangkap daripada genre lain seperti pantun, syair, gurindam, seloka dan lain-lain. Untaian puisi ini berperanan sebagai selingan dalam sesebuah cerita. Isinya ialah pemerian khas tentang sesuatu hal. Misalnya keindahan sesuatu tempat, kecantikan seseorang puteri atau kesaktian sesuatu senjata. Talibun biasa digunakan dalam cerita-cerita Penglipur Lara.
f. MANTERA
Mantera ialah kata-kata yang diucapkan untuk mendapatkan sesuatu dengan kuasa ghaib (melalui mimpi). Jampi ialah kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendapatkan kesaktian (seperti menyembuhkan penyakit dan sebagainya).
Mantera juga diberi pengertian sebagai ungkapan kata-kata yang digunakan pawang dan bomoh Melayu dalam upacara-upacara yang mempunyai berbagai ragam maksud dari segi kepercayaan lama seperti digunakan dalam doa dan pendinding keselamatan daripada segala bencana iaitu digunakan dalam upacara-upacara ritual, pemujaan kepada penunggu dan semangat, juga dalam kerja-kerja bersangkut paut dengan pertanian dan menangkap ikan (supaya menjauhkan bala dan kerosakan segala bencana).
g. PERIBAHASA BERANGKAP
Peribahasa berangkap ialah ungkapan peribahasa yang terdiri sekurang-kurangnya dua keratan yang sejajar, baik dalam sebaris atau lebih. Kemungkinan baris-baris itu tidak berhubungan dari segi rima tetapi terjalin dalam hubungan yang seimbang, iaitu sebagai pembanding atau pelengkap kepada yang lain.
h. NAZAM
Nazam ialah Puisi Melayu Tradisional warisan Arab-Parsi. Temanya selalu berhubung dengan keagamaan, pendidikan dan keilmuan.
“Nazam dalam bahasa Arab bermakna puisi (poem) atau (poetry). Secara umum, samalah seperti syair dalam bahasa Arab bermakna puisi…. Dalam Bahasa Melayu istilah nazam memberi makna lagu atau zikir, dan ‘bernazam’ ialah melagukan suatu jenis puisi untuk satu tujuan, sambutan atau keramaian”
i. MASNAWI
Masnawi atau juga masnu’i, mathanawi, dan mathnawi merupakan bentuk puisi yang berasal daripada Parsi dan di bawa ke alam Melayu. Sebagai puisi yang bersumberkan puisi Arab-Parsi, masnawi tidak popular di kalangan masyarakat Melayu dan oleh itu, genre ini tidak berkembang.
Masnawi dalam bahasa Melayu diperkenalkan oleh Bukhari al-Jauhari, di dalam karanganya, "Tajus Salatin" (Mahkota segala Raja).
Masnawi bertemakan puji-pujian tentang kehandalan, ketokohan dan kemasyhuran seseorang tokoh. Masnawi berfungsi sebagai panduan , pengajaran dan nasihat kepada pendengarnya.
j. ZIKIR / DIKIR
Zikir adalah puisi tumpangan warisan Islam. Perkataan dikir berasal perkataan Arab, zikir yang bermakna puji-pujian terhadap Allah s.w.t. dan rasul-Nya
Dikir / Zikir ialah sejenis puisi Melayu yang bermakna puisi puji-pujian. Dikir/zikir juga merupakan puisi yang mengandungi isi tentang unsur-unsur agama, sama ada tentang ibadat, puji-pujian, pengajaran atau tentang Nabi Muhammad s.a.w. dan ajaran-ajarannya.
k. REJANG
Rejang merupakan puisi tumpangan warisan Melayu yang tidak mempunyai bentuk yang tersendiri tetapi menumpang bentuk-bentuk puisi yang lain.
Rejang menumpang bentuk syair atau pantun yang menggunakan nama hari atau hari bulan berdasarkan firasat, raksi dan kepercayaan tertentu. Hari atau hari bulan dikaitkan dengan binatang, buah-buahan dan tumbuhan.
l. ENDOI
Endoi adalah puisi tumpangan warisan Melayu berasal daripada kata “endul” yang bermaksud buaian. Endoi merupakan tradisi lisan berbentuk perbuatan yang disambut oleh masyarakat Melayu dalam majlis keramaian seperti kenduri kahwin untuk memeriahkan suasana.
Endoi sebagai bentuk puisi tumpangan menggunakan bentuk syair, nazam dan juga pantun sebagai wadah penyampaiannya. Biasanya endoi berasaskan syair yang dilagukan dalam upacara berendoi.
Ia merupakan istiadat menyatakan kesyukuran selepas ibu berjaya melepasi masa pantang dan anak di dalam keselamatan. Endoi diungkap secara berlagu dalam majlis sambutan berkenaan secara beramai-ramai.
FUNGSI SASTERA LISAN (RAKYAT)
1. Sebagai “Alat” Hiburan
2. Sebagai “Alat” Mengajar dan Mendidik.
Hasil-hasil sastera lisan adalah bersifat didaktif iaitu mengandungi unsur pengajaran dan pendidikan moral kepada masyarakat tradisi.Cerita-cerita lisan ini terselit nasihat, pengajaran, teladan, yang sangat berguna sebagai panduan ke arah kesejahteraan hidup masyarakat. Misalnya anak-anak dinasihati agar tidak mengamalkan sifat tamak, takbur, sombong dan bongkak seperti mana yang terdapat pada sifat-sifat tertentu binatang dalam cerita-cerita Binatang.
Melalui cerita-cerita seperti “Si Tanggang” anak-anak dididik agar tidak derhaka kepada kedua orang tua kerana anak yang derhaka tidak akan selamat hidup di dunia dan akhirat. Begitu juga dalam cerita-cerita roman,ditonjolkan sifat kesetiaan kepada pemimpin, sikap dan amalan gotong-royong,kerjasama dan tolong menolong yang banyak membawa manfaat dan keberkatan terutama dalam mengujudkan sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera.
3. Sebagai “Alat” Mengkritik.
Cerita-cerita lisan juga digunakan sebagai saluran untuk membuat kritikan atau sindiran terhadap raja atau orang-orang bangsawan. Misalnya melalui cerita-cerita jenaka seperti cerita Pak Kaduk,jelas menyindirkan golongan berkuasa (raja) yang bersikap zalim, tamak, pentingkan kuasa dengan mengenepikan kesejahteraan hidup rakyat jelata.Juga melalui cerita Pak Pandir,Lebai Malang, terselit unsur-unsur sindiran terhadap orang yang tamak,kedekut,gilakan kuasa dan orang-orang yang sering mengambil kesempatan atas diri orang yang lemah semata-mata untuk kepentingan nafsu dan kekayaan diri sendiri.
4. Sebagai “Alat” Perhubungan atau Komunikasi.
Sastera lisan,terutamanya hasil-hasil karya yang berbentuk puisi menjadi alat perhubungan yang paling istimewa untuk menyampaikan hajat. Misalnya dalam adat perkahwinan, orang-orang Melayu menggunakan pantun sewaktu berkomunikasi, antara wakil pihak pengantin lelaki dengan pihak pengantin perempuan. Pantun digunakan sewaktu adat merisik berlangsung adat meminang dan ketika majlis persandingan.
5. Sebagai kata “Adat, Peraturan dan Pantang larang”.
Setengah kata-kata adat dan bidalan dianggap sebagai satu kemestian undang-undang atau peraturan masyarakat yang perlu dipatuhi. Malah kata-kata tersebut menjadi “pantang larang” dalam masyarakat.
No comments:
Post a Comment