Wednesday 10 August 2011

UNSUR KESETIAAN DALAM SULALATUS SALATIN SEJARAH MELAYU

TAAT SETIA, dalam konteks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu,bermaksud setiap hamba Melayu harus patuh terhadap raja atas sifatnya sebagai pemimpin dan keyakinan bahawa raja mempunyai daulat. Sikap taat setia hamba Melayu kepada raja menjadikan mereka senantiasa menghormati raja, khususnya institusi raja, serta bersedia untuk menjunjung clan mengelek titah perintah raja. Hamba Melayu yang taat setia kepada raja bersedia untuk melakukan apa-apa sahaja demi memuliakan kedudukan raja serta untuk memelihara keselamatan raja walaupun terpaksa menggadaikan nyawa dan harta benda mereka. Pada masa yang sama, sifat taat setia dapat mencegah hamba Melayu daripada menyanggah dan melanggar suruhan raja sebagaimana yang ditegaskan oleh Bendahara Paduka Raja Tun Perak sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir:
,'. .. raja itu umpama ganti Allah dalam dunia, kerana ia zillu'llah fil'alam. Apabila berbuat kebaktian kepada raja, serasa berbuat kebaktian kepada nabi Allah, serasa berbuat kebaktian kepada Allah Taala ... 11,     (hlm. 190)

Hamba Melayu yang tidak menuruti perintah raja atau melakukan penentangan serta pengkhianatan terhadap raja tergolong sebagai penderhaka. Penderhakaan terhadap raja merupakan suatu kesalahan yang amat besar dan jika ada hamba Melayu yang melakukan perkara yang sedemikian, mereka bakal berdepan dengan musibah dan tulah.
CONTOH-CONTOH TAAT SETIA
Kesetiaan Sidi Asma Yaumi'd-Din
Sidi Asma Yaumi'd-Din (di samping Sidi Ali Ghiathu'd-Din) merupakan menteri kepada Sultan Maliku's-Salleh yang memerintah kerajaan Semundra. Selepas kemangkatan Sultan Maliku's-Salleh, Sidi Asma Yaumi'd-Din menjadi menteri kepada Sultan Maliku'l-Mansur pula. Kesetiaan beliau terhadap Sultan Maliku'l-Mansur terlihat menerusi kesediaan beliau untuk dibunuh oleh Sultan Maliku't-Tahir kerana tidak mahu berpisah dengan Sultan Maliku'l-Mansur yang telah diturunkan takhta oleh Sultan Maliku't-Tahir. Dalam peristiwa pembunuhan itu, kepala beliau telah dibuang ke laut manakala badannya telah disulakan di atas kapal. Peristiwa itu menunjukkan bahawa beliau begitu taat dan setia kepada Sultan Maliku't-Tahir, tetapi yang lebih penting, beliau mematuhi dan mentaati wasiat Sultan Maliku's-Salleh yang menghendakinya "memeliharakan anakku kedua ini, dan jangan kamu bertuan raja yang lain daripada anakku kedua ini." Beliau sendiri telah berjanji "sekali-kali tiada kami kedua ini mengubahkan waad dan setia kami akan bertuan raja yang lain daripada paduka anakanda kedua ini."
Kesetiaan Hang Tuah.
Hang Tuah ialah salah seorang laksamana dalam kesultanan Melayu Melaka. Nama asal beliau ialah Daeng Mempawah dan beliau dikatakan berasal dari Mengkasar. Berdasarkan teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ini, beliau dapatlah dikatakan salah seorang hamba Melayu yang memperlihatkan sifat taat setia yang tidak berbelah bahagi terhadap raja. Dalam hal ini, sifat taat setia itu terserlah semasa beliau dijatuhi hukuman bunuh oleh Sultan Mansur Syah atas tuduhan yang belum dibuktikan kebenarannya. Beliau langsung tidak menentang hukuman tersebut sebaliknya menerimanya dengan penuh taat. Walau bagaimanapun, beliau bernasib baik kerana hukuman itu tidak dilaksanakan oleh Seri Nara Diraja yang lebih rasional daripada baginda sultan dan berpandangan jauh pula. Apabila Hang Jebat menimbulkan keadaan huru-hara di Melaka, Hang Tuah telah dipanggil semula oleh Sultan Mansur. Hang Tuah tidak menggunakan kesempatan itu untuk membalas dendam terhadap penganiayaan baginda, sebaliknya dengan berbekalkan sikap taat setianya, beliau bersedia untuk membunuh Hang Jebat yang merupakan sahabat karibnya. Begitu juga, demi kesetiaannya, beliau sanggup menyelamatkan kuda baginda sultan yang telah masuk ke dalam kolam najis setelah tiada seorang hamba pun sanggup untuk melakukannya.
Kesetiaan Bendahara Paduka Raja
Bendahara Paduka Raja ialah gelaran yang diberikan kepada Tun Perak setelah beliau menjadi bendahara Melaka. Pada suatu hari, anak beliau yang bernama Tun Besar telah dibunuh oleh Raja Muhammad, putera Sultan Mansur dan bakal raja Melaka, hanya disebabkan oleh bola raga yang disepak oleh Tun Besar terkena pada destar baginda.  Peristiwa pembunuhan tersebut telah menerbitkan kemarahan dalam kalangan pengikut Bendahara Paduka Raja. Mereka telah keluar berhimpun seraya menghunus senjata masing-masing untuk menuntut beta kematian Tun Besar. Walau bagaimanapun, atas kesedaran bahawa "istiadat hamba Melayu tiada pernah derhaka", Tun Perak telah melarang mereka daripada membunuh Raja Muhammad sebaliknya telah bertindak bijak dengan menyarankan supaya "anak raja seorang ini, janganlah kita pertuankan". Dengan menyingkirkan Raja Muhammad dari Melaka, Tun Perak telah menyelamatkan anak raja itu daripada maut. Yang lebih penting, hamba Melayu telah dapat mempertahankan ketaatan dan kesetiaan mereka sebagaimana yang ditetapkan oleh Seri Teri Buana dalam waadnya dengan Demang Lebar Daun, iaitu: "Hendaklah oleh segala anak cucu hamba, jikalau ada salahnya sekalipun, atau zalim jahat pekertinya, jangan segala hamba Melayu itu derhaka clan menitikkan darahnya ke bumi ... ".
Kesetiaan Tun Biajid
Tun Biajid ialah anak kepada Laksamana Hang Tuah. Beliau telah dipertanggungjawabkan oleh baginda sultan untuk mengurus Merba. Malangnya, semasa beliau berada di sana, Sultan Mahmud  telah mengambil kesempatan untuk menjalin hubungan sulit dengan isterinya. Perlakuan jahat Sultan Mahmud itu telah dilihat sendiri oleh Tun Biajid semasa beliau pulang dari Merba pada suatu malam. Pengkhianatan Sultan Mahmud itu menerbitkan kemarahan di hati Tun Biajid, tetapi walaupun Tun Biajid mempunyai kesempatan untuk membunuh raja itu kerana "tiada berapa orang yang mengiringkan baginda", beliau tidak bertindak sedemikian. Hal ini demikian kerana beliau sedar bahawa sebagai hamba Melayu, "tiada ia mahu mengubahkan setianya". Beliau sekadar memarahi baginda dan kemudiannya tidak menjalin hubungan apa-apa dengan Sultan Mahmud lagi.
Kesetiaan Bendahara Seri Maharaja
Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir adalah bapa saudara kepada Sultan Mahmud. Hubungan ini wujud kerana bonda Sultan Mahmud yang bemama Tun Naja/Senaja ialah kakak bendahara itu. Beliau menjadi bendahara Melaka selepas kematian Bendahara Putih. Pada waktu itu, Melaka diperintah oleh Sultan Mahmud Syah. Pada penghujung penguasaannya sebagai bendahara Melaka, beliau kurang disenangi oleh Sultan Mahmud. Hal ini demikian kerana Bendahara Seri Maharaja tidak memper­sembahkan anaknya, Tun Fatimah yang rupawan itu, kepada baginda sedangkan pada waktu itu baginda sudah kematian raja perempuan. Malah, bendahara itu mengahwinkan pula anaknya itu dengan Tun Ali. Oleh itu, apabila Kitul, Raja Mendaliar, dan Laksamana Khoja Hassan mengadu (menfitnah) bahawa Bendahara Seri Maharaja hendak merampas kuasa, Sultan Mahmud Syah yang mendendami bendahara itu, telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap beliau sekeluarga tanpa melakukan siasatan lebih dahulu. Hukuman itu membangkitkan kemarahan kaum keluarga dan pengikut Bendahara Seri Maharaja. Mereka telah datang berkumpul dan bersedia untuk menentang sultan. Walau bagaimanapun, Bendahara Seri Maharaja telah mengingatkan mereka bahawa "adat Melayu tiada pernah derhaka". Malah, kesetiaan beliau terhadap sultan Melaka begitu terserlah semasa Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara hendak membunuhnya. Beliau, dengan tenang merelakan hukuman itu sebagaimana katanya: "Barang yang telah berlaku pada hukum Allah itu, hamba pun redalah".
Kesetiaan Tun Ali Hati
Selepas Sultan Ahmad Syah dibunuh oleh Sultan Mahmud Syah, ayahandanya sendiri, semua pembesar kernbali bernaung di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Syah. Walau bagaimanapun, Tun Ali Hati, salah seorang pembesar kesayangan Sultan Ahmad Syah, enggan berbuat demikian kerana beliau "tiada mau memandang muka orang yang lain". Dengan kata lain, kesetiaan Tun Ali Hati hanya tertumpah pada Sultan Ahmad seorang. Oleh itu, beliau telah meminta Sultan Mahmud membunuhnya kerana beliau lebih rela mati bersama-sama dengan Sultan Ahmad daripada bertuankan sultan yang ada sekarang. Setelah beberapa kali memohon, akhirnya Sultan Mahmud memperkenankan permintaannya.

1 comment:

  1. saya ambil subjek sastera dlam form6. saya nak minta bahan untuk SBDKL di mana saya boleh dpatkannya. ada tak website2 yang berkaitan dengan SBDKL..

    ReplyDelete